PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti identiti suspek kelima kes samun bersenjata di Semenyih pada 31 Julai lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya kini giat mengesan suspek yang dipercayai masih berada di dalam negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelupusan barang kes di Balai Polis Ara Damansara di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja'afar.

Dalam pada itu, Hussein berkata pihaknya telah memohon untuk melanjutkan tempoh reman empat suspek kes berkenaan yang akan tamat hari ini dan esok.

Pada Khamis lepas, tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih sebelum seorang lagi suspek yang juga orang awam ditahan pada keesokannya.

Dalam kes berasingan, Hussein mengesahkan seorang anggota PGA Markas Briged Tengah, Cheras ditahan pada Isnin lepas kerana memiliki bahan larangan dipercayai ketum di bawah Akta Racun 1952.

Sementara itu, sebanyak 7,668 barangan kes bernilai RM1.5 juta dilupuskan melibatkan 918 kertas siasatan dari 2009 hingga 2024 dan antara yang dilupuskan, 1,822 barangan seperti pakaian, senjata berbahaya seperti pisau dan parang, 631 mercun, 2,111 botol minuman keras, rokok serta 531 mesin bitcoin.

Turut dilupuskan 2,666 peralatan elektronik yang dirampas daripada kegiatan perjudian atas talian seperti telefon, komputer riba dan telefon bimbit, manakala wang tunai berjumlah RM149,108.50 dan lima barang kemas yang dirampas akan diserahkan kepada Perbendaharaan Malaysia.

-- BERNAMA