Masakan tidak, pemain badminton negara itu pantas mendekati neneknya dan Nabil terus melaksanakan misi untuk bergambar dengan perseorangan lelaki berusia 26 tahun berkenaan.
"Yes! Yes! Menggunakan 'kabel' nenek, kita berjaya!" kata Nabil dalam video yang dimuat naik di Instagram ERA.
Bukan itu sahaja, Nabil, yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), turut menyambut kepulangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, serta bergambar bersama mereka.
“Guys, Alhamdulillah misi selesai. Kita dapat jumpa Lee Zii Jia, dapat berjumpa Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
“Dapat bergambar walaupun sekejap sebab lihatlah keadaan macam mana, memang sibuk sangat,” katanya dalam hantaran video berbeza.
Nabil sebelum itu terpaksa berkejaran menanti ketibaan hero negara itu dari balai ketibaan antarabangsa ke domestik sebanyak dua kali sebelum ketiga-tiga wira negara itu muncul di balai ketibaan domestik.
“Terima kasih banyak semua yang tunggu kami sejak pagi tadi. Dari (balai ketibaan) antarabangsa ke domestik, domestik ke antarabngsa dan kembali semula, sangat-sangat berbaloi, puas hati.
“Ini untuk pasukan Malaysia,” ujarnya lagi.
Lee Zii Jia membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen, dalam aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sebelum itu menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 16-21, 22-20, 21-19 juga dalam perebutan pingat gangsa. -- Stadium Astro