PUTRAJAYA: Semua kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan dicadangkan memainkan lagu Negaraku sekali seminggu untuk menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berharap Kementerian Perpaduan Negara dapat segera mengeluarkan pekeliling mengenai Pembudayaan Amalan Patriotisme dalam kalangan penjawat awam.

"(Strategi) menerapkan patriotisme dalam kalangan penjawat awam boleh dilakukan melalui pelaksanaan program dan aktiviti yang bersifat patriotik, termasuklah memainkan lagu Negaraku sekali seminggu di semua kementerian, jabatan, dan agensi.

"Lagi kerap, lagi bagus. Saya minta Kementerian Perpaduan Negara dapat memperincikan perkara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN 2024 di sini, hari ini.

Cadangan itu merupakan strategi ketiga melalui Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) Penghayatan Nilai dan Tatakelola di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, iaitu untuk menerapkan patriotisme dalam kalangan penjawat awam.

Empat strategi lain di bawah BKR Penghayatan Nilai dan Tatakelola ialah meningkatkan penghayatan Malaysia MADANI melalui Modul Latihan Malaysia MADANI; memastikan perbelanjaan wang awam dilakukan secara berhemah; memantapkan integriti dan akauntabiliti penjawat awam; serta memperkukuhkan budaya hijau dan kelestarian sumber.

Mengenai strategi memastikan perbelanjaan wang awam dilakukan secara berhemah, Shamsul Azri berkata pekeliling mengenai pengawalan sumber melalui amalan penjimatan dan larangan pembaziran perlu diwujudkan, dengan mengambil kira elemen pemantauan serta pengiktirafan kepada kementerian yang berjaya mencapai penjimatan ketara.

"Saya minta Kementerian Kewangan supaya dapat meneliti perkara ini," katanya.

Di bawah strategi keempat, iaitu memantapkan integriti dan akauntabiliti penjawat awam, Shamsul Azri berkata beliau akan mempengerusikan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (Pasukan Petugas Khas CPI) untuk memastikan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah terus diperbaiki.

Beliau berkata kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun lalu meningkat empat anak tangga, daripada kedudukan ke-61 pada 2022 kepada ke-57 daripada 180 negara.



KSN-NEGARAKU 3 (AKHIR) PUTRAJAYA



"Ini menunjukkan bahawa usaha kita dalam memperbaiki tadbir urus dan ketelusan mula menampakkan hasil," katanya.

Beliau pada masa yang sama turut melahirkan kekecewaan terhadap kegagalan majoriti Pihak Berkuasa Tempatan dalam melaksanakan arahan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian 1.2.1, iaitu penubuhan Unit Integriti, struktur dan perjawatan, serta pelaporan dan latihan.

"Kegagalan ini adalah sesuatu mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku. Justeru, pematuhan kepada arahan ini akan menjadi pemantauan utama Pasukan Petugas Khas CPI ini," katanya.

-- BERNAMA