Beliau berkata ekoran itu, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan dan menutup terus lintasan-lintasan atau laluan masuk tidak sah ini.
"Langkah kawalan sempadan perlu dipertingkatkan dan penting untuk mengurangkan jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan.
"Saya meminta agar supaya pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di pintu-pintu masuk sempadan negara dipercepat dan menggunakan teknologi buatan kecerdasan buatan (AI) sebagaimana saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemudah cara untuk sentiasa berevolusi, selari dengan kepelbagaian bentuk ancaman kepada keselamatan negara," kata beliau.
Shamsul Azri berkata demikian kepada pemberita sempena peluncuran program rintis Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Beliau berkata penggunaan teknologi AI dalam strategi kawalan sempadan negara adalah sangat kritikal dan diperlukan.
"Penggunaan teknologi AI dalam kawalan pintu masuk dan sempadan melalui mekanisme yang tepat secara optimum akan membantu pegawai-pegawai kita memantau, menilai, merancang dan menguatkuasakan tindak balas terhadap sebarang bentuk ancaman dan cabaran yang dihadapi di pintu masuk dan sempadan negara.
"Sebagai contoh, penyelarasan dan analisis data daripada CCTV dan mesin pengimbas barangan di pintu masuk yang dilengkapi teknologi AI, akan mempertingkatkan keupayaan para pegawai dalam membangunkan analisis risiko di pintu masuk," kata beliau.
Shamsul Azri berkata pendekatan proaktif ini boleh membantu agensi sempadan dalam memintas potensi ancaman sebelum ia berlaku, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan secara keseluruhan di pintu masuk dan sempadan negara.
Beliau berkata data yang dipacu dengan algoritma lanjutan AI, seperti facial recognition dan intelligent document processing akan membantu memperkemas proses pemeriksaan orang dan barangan oleh pegawai.
"Senario ini, secara tidak langsung akan memastikan proses pelepasan barangan yang berisiko rendah dapat dipercepatkan.
"Perkara ini sangat penting bagi meningkatkan daya saing pelabuhan-pelabuhan dan terminal-terminal kargo negara," kata beliau.
Shamsul Azri berkata di sebalik cabaran yang dihadapi, adalah penting untuk menekankan pelbagai manfaat yang akan dibawa agensi sempadan, terutamanya kepada penduduk yang tinggal di kawasan sempadan khususnya di Rantau Panjang.
Terdahulu, beliau meninjau gerak kerja dan pengoperasian Kompleks ICQS Rantau Panjang oleh agensi-agensi sempadan.
Selain itu, Shamsul Azri turut meninjau paras air Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand.
Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia Datuk Seri Hazani Ghazali.
-- BERNAMA