Ringkasan AI
- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) hanya mempunyai 129 anggota aktif daripada 6,813 perjawatan yang diluluskan setakat ini.
- Kerajaan akan menambah bilangan anggota AKPS untuk memastikan operasi yang cekap dan efisien, dengan semua 21 pintu masuk utama negara akan diletakkan di bawah AKPS pada 1 Februari 2025.
- AKPS dijangka mengambil anggota daripada pelbagai jabatan seperti JKDM, JIM, Perhilitan, KKM, JPJ, dan MAQIS untuk mengurangkan birokrasi dan isu pertindihan bidang kuasa.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kerajaan akan menambah bilangan anggota agensi itu untuk memastikan ia dapat beroperasi dengan cekap dan efisien.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan mesyuarat pertama agensi itu, di sini, hari ini.
“Kita mulakan dengan Rantau Panjang pada 1 Januari 2025 dan pada 1 Februari (2025), kita akan panjangkan ke 21 pintu masuk utama.
“Jadi semua 21 pintu masuk utama negara akan diletakkan di bawah AKPS,” katanya.
AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Oktober 2024.
Shamsul berkata, agensi itu dijangka mengambil anggota daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Kita yakin dengan agensi tunggal ini dapat mengurangkan birokrasi, mentaliti silo, dan dapat mengurangkan isu pertindihan bidang kuasa,” katanya.