KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengikuti secara dekat perkembangan di Sudan bersama agensi kerajaan yang lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa agensi lain bagi memastikan rakyat Malaysia di Sudan adalah terjamin selamat.

Menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memaklumkan sehingga kini jumlah rakyat Malaysia yang dikenal pasti berada di Sudan adalah sebanyak 29 orang.

“Kesemuamereka dilaporkan selamat dan maklumat mereka adalah seperti berikut: 11 pelajar; tiga Home Based Staff dan lapan ahli keluarga; satu orang yang bekerja dengan Petronas; satu orang yang bekerja dengan UNICEF; satu orang yang bekerja dengan PBB; dua orang yang bekerja PBB di Wilayah Abyei; satu orang yang bekerja di World Vision; dan satu orang yang bekerja di Hotel Lian Tian International.

“Mesyuarat Antara Agensi telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri, Datuk Norman Muhamad, pada Ahad, 16 April 2023, jam 9.30 pagi di Bilik Operasi Wisma Putra.

“Tujuan mesyuarat diadakan adalah untuk mendapatkan maklumat terkini situasi semasa di Sudan serta berbincang mengenai cadangan yang sesuai bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan terjamin semasa konflik ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, Bilik Operasi 24 jam juga telah dilancarkan di Wisma Putra bagi memantau keadaan semasa kejadian di Sudan termasuk komunikasi berkumpulan melalui WhatsApp turut dilakukan.

“Kepada rakyat Malaysia yang berada di sana, dinasihatkan ambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko untuk keluar buat sementara waktu.

“Mereka boleh berhubung terus dengan Pihak Malawakil Malaysia di Sudan dan sebarang makluman atau tindakan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Konflik di Sudan, yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.