BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeleweng pelbagai barangan kawalan dan bersubsidi dalam serbuan di sebuah gudang di Permatang Batu, Perda di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa negeri Mohd Suffian Mohd Abbas berkata pihaknya merampas minyak masak peket polibeg satu kilogram (1kg), gula dan tepung gandum bernilai RM80,500 selain turut menyita sebuah lori dalam serbuan berkenaan.

"Pemantauan yang dijalankan sejak sebulan lepas mendapati pintu masuk gudang itu memaparkan tulisan cuti malah pintu berkenaan turut berkunci dengan mangga, namun berdasarkan intipan mendapati terdapat pergerakan keluar dan masuk beberapa buah kenderaan termasuk lori ke situ.

"Kami berjaya menyerbu masuk gudang ketika kereta milik pekerja di situ mahu masuk ke dalam premis dan semasa serbuan terdapat seorang lelaki tempatan berusia 70-an yang juga pemandu lori sedang memunggah masuk barangan ke dalam lorinya manakala dua lagi pekerja dipercayai warga asing berjaya melarikan diri," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Mohd Suffian memaklumkan pemeriksaan di dalam gudang itu menemukan 6,371kg minyak masak, 18,100kg gula pasir dan 1,100kg tepung gandum yang kesemuanya adalah barangan kawalan dan bersubsidi.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan pihaknya mendapati gudang yang terletak 500 meter dari jalan utama itu adalah milik sebuah syarikat dan mempunyai lesen menyimpan barang kawalan namun dipercayai bertindak menyeleweng kerana mahu mengaut keuntungan besar.

Menurut Mohd Suffian, modus operandi ialah dengan mendapatkan bekalan barangan kawalan daripada pemborong dan diisi semula dalam tong untuk minyak masak manakala gula pula dalam guni sebelum dijual kepada pihak industri dengan harga mengikut pasaran.

"Kita temukan minyak masak peket polibeg yang masih belum dan telah dibuka yang diisikan semula dalam tong berkapsiti 17kg untuk dijual kepada industri dengan harga sekitar RM80 hingga RM90 setiap tong. Mereka kaut keuntungan sekitar RM40 setiap tong.

"Begitu juga dengan gula, mereka buka pek 1kg itu dan bungkus semula dalam guni 50kg sebelum jual semula kepada industri. Kita percaya mereka telah menjalankan kegiatan itu sejak dua hingga tiga tahun lepas dengan mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan," katanya.

Mohd Suffian berkata pihaknya juga mendapati kesemua bungkusan minyak masak, gula dan tepung gandum itu dibakar di bahagian belakang gudang tersebut dipercayai bagi memusnahkan bahan bukti.

Beliau berkata seorang wanita warga Filipina dan pemandu lori itu ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan bekalan 1961 dan Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

-- BERNAMA