Kempen kelompok sebegini terutama pada minggu terakhir sebelum hari membuang undi ternyata lebih berkesan berbanding dengan perjumpaan terbuka yang dihadiri oleh sebilangan besar penduduk selain belum pasti mereka itu adalah pengundi di KKB.
Usaha untuk mengadakan hubungan terus dengan pengundi masih dilakukan iaitu kedua-dua pihak cuba menyakinkan pengundi yang disasarkan di mana ternyata dalam kempen kali ini, kawasan tertumpu banyak di pusat daerah mengundi (PDM) Batang Kali, termasuk Ampang Pecah di mana bilangan penghuninya adalah yang paling ramai.
Begitupun, kita lihat bahawa usaha untuk mengenal pasti penyokong keluar mengundi terus menjadi saranan yang dibangkitkan oleh pihak yang menggerakkan jentera parti.
Hari ini, faktor jentera akan memainkan peranan penting kerana kedua-dua calon utama sudah diperkenalkan dan tidak lagi dijadikan isu yang berlarutan sehingga timbul curiga di kalangan pengundi.
Apa yang mahu ditumpukan, bagaimana pihak pengundi ini dapat keluar mengundi pada hari pengundian itu nanti selepas kebanyakan daripada usaha kempen sudah tentu dicurahkan untuk menyakinkan pengundi memilih calon wakil rakyat mereka.
Paling penting kini, pengundi akan menentukan sama ada produk, calon atau parti menjadi pilihan mereka. seperti yang diketahui, produk ini sedang dipaparkan namun sekiranya tidak ada orang yang keluar untuk mengundi, maka produk ini tidak dilihat sebagai laris di pasaran.
Justeru, keluar untuk meraih undi menjadi pelan hubungan pengundi yang strategik dan sedang dikuatkan oleh jentera masing-masing.
Tidak ada faedahnya segala usaha yang dilakukan akhirnya tidak berhasil apabila kelihatan jumlah keluar mengundi itu merosot berbanding sebelumnya.
GOTV
Sudah pasti, usaha serta strategi yang disebut sebagai 'Get Out To Vote' (GOTV) sering kali digiatkan pada pusingan terakhir dan kegiatan mereka pada waktu ini adalah satu kaedah yang benar-benar bukan lagi melihat kepada jumlah khalayak tetapi untuk terus berhubung kepada pengundi.
Sudah tentu di mana kawasan seseorang calon memiliki sokongan kuat, diharap penyokong mereka akan menunjukkan tanda positif itu pada hari mengundi.
Apa yang diragui sekarang, khususnya kepada sesebuah Pilihan Raya Kecil (PRK) berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) adalah tentang kebarangkalian peratusan keluar mengundi yang tidak mencapai sasaran dijadualkan pada awal kempen bermula.
Kedua-dua pihak bertanding mula melakukan perkiraan adakah mereka akan menang sekiranya peratusan keluar mengundi itu menepati sasaran yang dikehendaki.
Misalnya, Perikatan Nasional (PN) menyatakan sekiranya peratusan mengundi adalah 80 peratus, mereka mungkin mencapai kemenangan dan kepada Pakatan Harapan (PH) pula, jika pengundi bukan Melayu keluar tinggi khususnya India, mereka berupaya kekal di Kuala Kubu Baharu.
Di KKB ini, kelihatan semua pihak sudah mengenal pasti sentimen dan juga mood pengundi, ada yang menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku akibat daripada kematian dan perlu ada penggantian, kerana kepada mereka penerusan segala yang dirancang ini perlu untuk melihat prestasi seseorang calon.
Manakala ada satu pihak lagi menyatakan bahawa beberapa peristiwa yang berlaku di peringkat tempatan, negeri atau persekutuan perlu diterjemahkan melalui undi ini.
Perbahasan berlarutan sehingga terlihat bahawa ada kempen menjurus kepada usaha untuk mengundi mengikut sentimen kaum daripada melihat hak pengundian kepada orang yang berkelayakan di dalam negara ini.
Sudah pastilah, ramalan kemenangan atau punca kelemahan sudah dikesan oleh kedua-dua pihak.
Dalam tempoh kempen ini, calon PH terus memfokuskan kepada peranan beliau sebagai wakil masyarakat sehingga dapat dilihat bahawa beliau mampu menguasai misi dan sebab kenapa dia menjadi individu yang dikatakan layak mewakili KKB.
Beberapa suara, rungutan mendapat perhatian dan diselesaikan, namun kepada pihak PN, walaupun sosok calonnya itu adalah seorang tempatan, tetapi usaha untuk menarik perhatian pengundi dan kenapa beliau harus mewakili KKB ini tidak dilihat mencapai matlamat kerana elemen sensitif kaum masih dilihat wujud di kawasan KKB.
Dua implikasi
Sebarang kesilapan yang dilakukan dalam menyentuh hal-hal sensitif boleh membawa kepada dua implikasi.
Pertama, pengundi tidak membuang undi dan kedua, mereka keluar mengundi sebagai tanda tidak setuju kepada kerajaan yang memerintah atau mengundi untuk penerusan usaha yang dibantutkan oleh satu peristiwa sedih di mana penyandang oleh penyokong lalu terpaksa memilih penggantinya.
Sudah pasti dengan rasional ini, dilihat pengundi akan bersetuju untuk meneruskan sahaja setiap perancangan yang telah dan akan dilakukan penyandang ketika ini.
Menarik dipetik falsafah pengkritik dan pengarang di Amerika Syarikat (AS), George Carlin yang menyatakan; "Jika anda tidak mengundi, anda tiada hak untuk mengadu" serta kata-kata aktivis hak asasi Cambodia, Loung Ung yang memberitahu; "Mengundi bukan sahaja hak namun adalah kuasa semua".
Secara umumnya, tanpa mengambil kira berapa majoriti kemenangan, ramai berpendapat bahawa PH akan mempertahankan KKB dan ramai juga yang menyifatkan ia bergantung kepada konsistensi pengundi serta peratus keluar undi yang menepati perkiraan jentera parti sebelum ini.
Justeru itu, jangan juga dilupakan faktor cuaca ketika ini yang sedikit sebanyak turut dapat memberi sumbangan kepada jumlah majoriti kemenangan mana-mana pihak kelak, maka hari ini ramai yang berpendapat, undi awal pagi lebih baik daripada membuang undi pada lewat petang.
* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir Jasa (2010-2014) dan kini menjadi pemerhati serta pengulas isu-isu politik serta semasa.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.