PILIHAN RAYA KECIL (PRK) Kuala Kubu Baharu telah menjadi pusat tumpuan bagi pemerhati dan penganalisis politik, termasuk pakar strategi Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN).

PRK ini dianggap medan ujian untuk mengasah dan menguji strategi politik yang akan diguna pakai dalam menghadapi siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Antara aspek yang sudah pasti menjadi penilaian adalah kebersediaan dan ketangkasan jentera, pengurusan logistik, serta dinamik hubungan parti di dalam gabungan.

Walaupun begitu, di dalam era politik polarisasi dan dominasi pengaruh digital yang dialami ketika ini, keberkesanan naratif yang dipersembahkan kepada pengundi menjadi lebih penting dari sebelumnya.

Pakatan Harapan (PH), dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai pemerintah negeri Selangor dan Persekutuan mempersembahkan naratif kesinambungan, kestabilan politik, pentadbiran yang efektif dan
pembangunan yang inklusif.

Calon mereka, Pang Sock Tao mengetengahkan pendekatan ini melalui manifesto bertemakan ’Kekal Kuala Kubu’ yang tertumpu kepada aspek ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya serta kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya, PN dilihat tidak konsisten dalam mempersembahkan naratif mereka kepada umum.

Pada asasnya, naratif yang benar-benar memberi kesan kepada pengundi masih tertumpu kepada aspek perkauman dan agama dengan naratif 'Melayu undi calon Melayu'.

Gelanggang isu perkauman ini mula berlegar apabila Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberi indikator yang agak sinikal apabila menyebut calon Kerajaan Perpaduan merupakan produk daripada sekolah vernakular.

Malah, ADUN Cheka, Tuan Ibrahim Tuan Man juga dalam satu siri ceramah telah menyeru pengundi untuk memilih calon yang solat dan mengeluarkan zakat.

Pada masa sama, terdapat juga pemimpin daripada PN membawa naratif yang berbeza. Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa ceramah telah menyeru pengundi tanpa mengira kaum dan agama untuk memilih PN sebagai satu isyarat protes atau marah sekiranya merasakan bahawa Kerajaan Perpaduan gagal mentadbir negara dengan baik.

Isu kos sara hidup yang meningkat, persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan gagal memulihkan ekonomi serta retorik janji palsu merupakan alasan yang dikemukakan oleh PN dalam membentuk naratif ini.




Rakan gabungan

Walaupun PRK kali ini adalah di antara PH dan PN, UMNO sebagai salah satu rakan gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan turut membantu berkempen dan mendekati demografi tradisi mereka.

Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dilihat antara tokoh yang ke hadapan mendekati pengundi dengan menawarkan naratif unik dan khusus untuk mendapat sokongan orang Melayu.

Tema naratif yang disampaikan UMNO adalah menyeru ahli mereka dan orang Melayu untuk turun memberi undi kepada calon Pakatan Harapan dengan tujuan mengukuhkan kedudukan UMNO di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan sebagai parti yang membawa suara dan denyut nadi orang Melayu.

Undi orang Melayu kepada calon Pakatan Harapan sudah tentu akan menjadi bukti kukuh untuk UMNO terus menjadi suara dominan di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan terutamanya di dalam soal yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam.

Subnaratif yang ditawarkan oleh UMNO turut melibatkan soal pembangunan yang lebih inklusif dan substantif di Kuala Kubu Baharu serta Hulu Selangor secara keseluruhannya.

Menurut Muhammad, DUN Kuala Kubu Baharu merupakan satu-satunya DUN yang dikuasai Kerajaan Perpaduan di Parlimen Hulu Selangor (Kerusi DUN Ulu Bernam, DUN Batang Kali dan Parlimen Hulu Selangor dikuasai oleh PN).

Situasi ini boleh merencatkan pembangunan kerajaan negeri yang berhasrat untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai Lembah Klang kedua kerana ketiadaan pemudah cara di kawasan tersebut.




Perang naratif

Perperangan naratif di Kuala Kubu Baharu menjadi semakin rancak di pentas media sosial dengan penyertaan rakyat secara keseluruhan.

Setiap penyokong parti politik turut menggunakan medium ini untuk mempengaruhi pengundi Kuala Kubu Baharu untuk membuat keputusan menjelang 11 Mei ini.

Sekali imbas di ruangan komentar, kelihatan seperti naratif PN lebih mempengaruhi pendapat rakyat
terutamanya orang Melayu.

Analisis yang lebih mendalam mendapati, sentimen pengguna media sosial bergantung kepada kandungan dan tajuk berita selain daripada platform media sosial itu sendiri.

Apabila dikaji komentar daripada sumber neutral seperti di halaman portal berita, Kerajaan Perpaduan dan PN menerima sokongan yang lebih kurang sama iaitu sekitar 35 peratus sehingga 40 peratus manakala selebihnya komentar yang bersifat sarkastik ataupun lawak semata-mata.

Perlu diingatkan, dalam setiap kiriman media sosial yang dilihat oleh pengguna, hanya 10 peratus sahaja yang memberikan reaksi manakala hanya satu peratus sehingga dua peratus sahaja yang meninggalkan komentar.

Ini bermakna, terdapat lebih kurang 90 peratus pengguna yang memilih untuk berdiam diri dan tidak menzahirkan pendapat.

Inilah segmen 'majoriti senyap' yang agak sukar untuk dikaji sentimen serta sokongan mereka.

Akhirnya, keputusan pilihan raya ini sahaja yang boleh memberi jawapan terhadap naratif manakah yang benar-benar mempengaruhi sikap dan pemikiran rakyat.

Keputusan pada 11 Mei ini juga akan menetapkan satu tanda yang penting bagi setiap parti politik menentukan strategi kempen bagi menghadapi pilihan raya yang seterusnya.

Sudah pasti naratif yang terbukti paling berkesan akan diulang-ulang untuk membentuk gelombang berterusan.

Algoritma media sosial juga akan memaparkan naratif yang paling tinggi mendapat perhatian dan seterusnya menetapkan tema perbincangan rakyat untuk tahun mendatang sehinggalah timbul isu lain yang lebih sensasi.

Pilihan yang bakal dibuat oleh pengundi di Kuala Kubu Baharu berpotensi menetapkan nada wacana masa depan negara untuk beralih ke topik yang lebih substantif melibatkan perbincangan mengenai polisi pembangunan dan kemajuan negara sekali gua menjauhi retorik perkauman yang memecahbelahkan perpaduan.

Ini merupakan satu kesempatan untuk mendefinisikan semula landskap politik negara yang mana naratif pembangunan dan kesatuan menjadi lebih utama berbanding naratif kebencian dan perpecahan.


*Ahmad Raziz Rashid adalah bekas Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.