“HIDUP dengan ilmu itu mudah, hidup dengan seni itu indah.”

Kata-kata ini membawa maksud bahawa ilmu pengetahuan memberikan panduan dan memudahkan kehidupan seseorang untuk mencapai kejayaan, membuat keputusan yang bijak, dan menyelesaikan masalah dengan lebih efektif.

Ilmu memberi arah dan ketepatan dalam menjalani kehidupan, manakala seni pula membawa keindahan dan kepuasan.

Seni memberi warna kepada kehidupan dengan membangkitkan emosi, kreativiti, dan apresiasi terhadap keindahan. Ia mencerminkan kebebasan ekspresi dan pemahaman yang mendalam tentang kemanusiaan.

Oleh itu, kombinasi ilmu dan seni dalam kehidupan adalah seimbang - ilmu memberikan ketertiban dan kejelasan, manakala seni membawa kedamaian dan kegembiraan. Kehidupan yang baik bukan sahaja memerlukan kebijaksanaan dan pengetahuan, tetapi juga keindahan, kreativiti, dan apresiasi terhadap seni.

Dalam konteks ini, universiti melalui pusat kebudayaan dan kesenian memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua elemen ini, terutamanya di era digitalisasi yang mencabar.

Teknologi bukan sahaja mengubah cara kita berkomunikasi dan belajar, tetapi juga membuka ruang baharu untuk ekspresi seni yang lebih kreatif dan inovatif.

Pusat kebudayaan dan kesenian universiti bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk mengembangkan bakat seni, tetapi juga sebagai pemangkin yang menggabungkan ilmu dan seni melalui pelbagai program dan aktiviti.

Pameran seni digital, bengkel kreatif dalam talian, serta persembahan seni interaktif adalah antara inisiatif yang boleh dijalankan untuk memberi ruang kepada pelajar dan staf bereksperimen dengan pelbagai medium dan teknologi tanpa batasan ruang dan waktu. Sebagai contoh, penggunaan realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) membolehkan karya seni dihasilkan dan dipersembahkan dalam bentuk yang lebih menarik dan interaktif.

Ini bukan sahaja menarik minat pelajar dan staf yang mungkin tidak terdedah kepada seni sebelum ini, tetapi juga memperluas audien serta capaian seni ke peringkat global.

Pusat kebudayaan dan kesenian juga berperanan sebagai pusat inovasi apabila idea-idea baharu daripada pelajar dan staf dalam pemeliharaan dan pemuliharaan seni dan budaya dapat diteroka dan dikembangkan.

Ia menjadi platform untuk mengintegrasikan kreativiti dengan teknologi, serta mendorong inisiatif yang memartabatkan warisan budaya dan kesenian melalui pendekatan yang lebih kontemporari dan relevan.

Dengan sokongan infrastruktur dan teknologi seperti studio rakaman, makmal reka bentuk digital, serta peralatan multimedia, pelajar dan staf dapat bereksperimen dengan pelbagai medium dan teknik.

Ini membolehkan penghasilan karya seni yang bukan sahaja bersifat tradisional, tetapi juga moden dan futuristik.

Selain itu, pusat ini juga menjadi ruang untuk kolaborasi antara fakulti berlainan, seperti seni, teknologi, dan sains sosial, untuk mencipta projek seni yang bersifat multidisiplin.

Kolaborasi ini bukan sahaja memperkaya pengalaman seni, tetapi juga memupuk kefahaman dan apresiasi yang lebih mendalam terhadap kepelbagaian perspektif dan budaya.

Namun, era digitalisasi juga membawa pelbagai cabaran.

Antaranya adalah keperluan untuk menyediakan infrastruktur dan teknologi yang mencukupi bagi menyokong aktiviti seni digital.

Kos peralatan seperti perisian reka bentuk, komputer berkuasa tinggi, dan peranti realiti maya mungkin menjadi halangan bagi pusat-pusat kebudayaan yang kekurangan sumber.

Selain itu, tahap kesediaan dan literasi digital dalam kalangan pelajar dan staf juga boleh menjadi cabaran, kerana tidak semua individu selesa atau berpengalaman menggunakan teknologi dalam karya seni mereka.

Cabaran lain termasuklah pemeliharaan identiti seni tempatan dan tradisional dalam arus teknologi global.

Kecenderungan untuk mengadaptasi teknologi moden kadangkala menyebabkan nilai seni tradisional dan budaya asli terpinggir.

Oleh itu, penting bagi pusat kebudayaan dan kesenian untuk mengimbangi antara inovasi digital dan pelestarian seni warisan agar identiti seni tempatan terus terpelihara.

Kesimpulannya, pusat kebudayaan dan kesenian di universiti bukan sekadar ruang untuk mengembangkan bakat seni, tetapi juga sebagai agen perubahan dalam era digital ini.

Dengan mengintegrasikan teknologi dan seni, pusat ini mampu mencetuskan inovasi serta menyokong ekspresi seni kreatif yang lebih inklusif dan berkesan.

Universiti wajar mengambil peluang ledakan kecerdasan buatan (AI) bagi melonjakkan agenda kebudayaan dan kesenian lebih terus segar dan malar.

Ini adalah langkah penting untuk mempersiapkan generasi pelajar dan staf yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berjiwa seni dan kreatif.



* Noorfathehah Abdullah Sani ialah Ketua Pusat Kebudayaan dan Kesenian Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.