Bukti rasuah terpampang setiap hari melalui laporan media, mendedahkan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana, dan pemberian kontrak secara tidak sah. Penjenayah rasuah datang daripada pelbagai latar belakang, dan sering kali mereka tidak melihat diri sebagai penjenayah kerana menganggap rasuah adalah perkara "biasa" atau "praktikal". Sikap ini menjadikan usaha membanteras rasuah semakin mencabar.
Media berperanan besar dalam menyebarkan maklumat dan membentuk persepsi masyarakat tentang rasuah. Sejarah media Malaysia yang bermula sejak tahun 1806 dengan penerbitan akhbar pertama, diikuti dengan kehadiran radio pada tahun 1921, membuktikan pengaruhnya dalam membentuk pandangan masyarakat.
Dalam era digital kini, media sosial dan portal berita dalam talian menjadi sumber maklumat utama rakyat Malaysia. Laporan Digital 2023 mendapati pengguna internet di Malaysia menghabiskan purata dua jam 47 minit sehari di media sosial, lebih tinggi daripada purata global.
Platform seperti Facebook, Instagram, dan TikTok memberikan akses maklumat secara meluas, menjadikannya saluran yang penting dalam menyampaikan mesej pencegahan rasuah.
Gabungan Media Tradisional dan Digital
Walaupun media sosial mendominasi, media tradisional seperti akhbar dan televisyen masih relevan. Bagi sesetengah golongan, khususnya warga emas, media cetak dianggap lebih boleh dipercayai berbanding sumber digital. Gabungan antara media tradisional dan digital penting untuk memastikan mesej pencegahan rasuah sampai kepada semua lapisan masyarakat. Media tradisional menawarkan kredibiliti, manakala media digital menyebarkan maklumat dengan pantas dan meluas.
SPRM dan Media: Rakan Strategik
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiktiraf peranan penting media dalam menyebarkan maklumat tentang kes rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan. Dengan sokongan media, usaha SPRM untuk membanteras rasuah mendapat perhatian masyarakat dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya rasuah.
Liputan meluas media memberikan tekanan kepada pihak berkuasa untuk bertindak tegas. Ini sekali gus memastikan individu yang terlibat diheret ke muka pengadilan. Hubungan antara SPRM dan media bersifat saling melengkapi: SPRM memberikan maklumat yang tepat, manakala media menyampaikannya kepada masyarakat.
Namun, tanggungjawab besar media dalam melaporkan isu rasuah tidak terlepas daripada cabaran. Dalam era berita palsu, media perlu memastikan setiap laporan adalah sahih dan tidak sensasi semata-mata untuk menarik perhatian. Berita yang salah boleh mencetuskan spekulasi, salah faham, dan menjejaskan reputasi pihak tertentu.
Pengamal media perlu peka terhadap pelbagai agenda terselindung yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk meraih simpati atau menyerang kredibiliti kerajaan, di mana agensi penguat kuasa seperti SPRM kerap dijadikan kambing hitam demi memenuhi kepentingan mereka.
Selain itu, media perlu bertindak secara adil, tidak menjatuhkan hukuman ke atas individu yang belum disabitkan bersalah. Wartawan perlu mematuhi prinsip kewartawanan beretika dan memastikan pelaporan mereka seimbang, berlandaskan fakta.
Kuasa Media Sosial
Media sosial adalah platform yang sangat berkuasa dalam menyebarkan mesej pencegahan rasuah. Ia mampu menjangkau berjuta-juta orang dalam masa singkat. Namun, kuasa ini datang dengan tanggungjawab besar. Penyalahgunaan media sosial boleh mengakibatkan penyebaran fitnah, berita palsu, atau jenayah siber.
SPRM boleh menggunakan kekuatan media sosial untuk mendidik masyarakat, membina jenama, dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah. Dengan strategi yang betul, mesej pencegahan rasuah dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Kebebasan Media dan Literasi Rakyat
Kebebasan media dalam melaporkan isu rasuah perlu disokong, namun ia harus dilaksanakan dengan beretika. Literasi media dalam kalangan rakyat juga penting untuk melahirkan masyarakat yang bijak dalam menilai dan memberi maklum balas terhadap berita atau isu semasa.
Netizen dan media perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab. Kritikan terhadap isu rasuah harus bersifat membina, berlandaskan fakta, dan tidak dipenuhi kebencian atau tuduhan tidak berasas.
Kesimpulan
Media adalah sekutu penting dalam perjuangan menentang rasuah. Dengan liputan yang luas dan keupayaan mempengaruhi persepsi masyarakat, media membantu meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah dan kepentingan integriti.
Kerjasama antara SPRM dan media memastikan mesej pencegahan rasuah disampaikan dengan berkesan kepada semua lapisan masyarakat. Gabungan antara media cetak, elektronik, dan sosial memberikan impak maksimum dalam usaha membanteras rasuah. Dengan sokongan semua pihak, diharapkan Malaysia dapat melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara bebas rasuah.
* Artikel ini ditulis oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya Hisyam Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, SPRM.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.