Khususnya di negeri Sabah dan Sarawak, pembangunan jalan raya merupakan satu cabaran yang besar berikutan keadaan geografi yang pelbagai dan jarak yang luas.
Sejarah pembangunan jalan raya di Sabah dan Sarawak bermula dengan usaha untuk menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat-pusat ekonomi utama.
Negeri-negeri ini, yang terletak di pulau Borneo, mempunyai bentuk geografi yang kompleks dengan kawasan yang berbukit-bukau, hutan tebal, dan gunung-ganang.
Keadaan ini menjadikan pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya satu tugas yang mencabar.
Selain itu, populasi yang tidak sekata di kawasan bandar dan luar bandar memerlukan perancangan yang teliti dalam pembangunan infrastruktur jalan raya.
Untuk itu, perancangan jangka panjang yang mengambil kira semua faktor di atas amat diperlukan bagi membina jaringan yang mampu menghubungkan penduduk dari satu kawasan ke kawasan yang lain dengan mudah.
Projek demi projek dirancang, dibangun dan dilaksana
Sebenarnya biarpun keadaan muka bumi yang mencabar dengan mengambil kira keluasan negeri yang besar seperti Sarawak, namun ini bukan alasan untuk kerajaan baik di peringkat negeri dan Persekutuan untuk tidak membangunkan jaringan-jaringan ini.
Di negeri Bumi Kenyalang amnya, banyak kawasan-kawasan pedalaman sudah disiapkan dengan jaringan jalan raya yang berkualiti bagi menghubungkan penduduknya dengan kawasan-kawasan ekonomi utama.
Sebagai contoh, penulis merupakan anak kelahiran Sarawak yang mempunyai pengalaman menaiki bot laju selama tiga jam atau lebih untuk pulang ke kampung halaman di Dalat dari bandar Sibu suatu ketika dahulu.
Namun kini dengan adanya jalan raya, penduduk sekitar Dalat hanya perlu memandu ke Sibu melalui Mukah seterusnya ke Selangau dalam dua jam.
Terbaharu pada Disember tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan satu lagi projek bagi menghubungkan dua kawasan ini dalam tempoh yang jauh lebih pendek.
Hampir RM250 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri Sarawak bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, dalam Bahagian Mukah.
Jalan yang dicadangkan itu adalah projek negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan akan melibatkan projek Jalan Kampung Kekan Seberang - Kut Muara - Sungai Pinang - Bungan Besar - Rassau akan memendekkan masa perjalanan dari Dalat ke Sibu kepada kira-kira satu jam melalui jalan penghubung lain dari Rassau.
Ini merupakan salah satu daripada ratusan agenda pembangunan yang disusun di peringkat negeri dan di peringkat Persekutuan juga, kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) juga tidak berhenti merancang, membangun dan melaksana projek-projek mega dalam usaha menghubungkan penduduk di negeri-negeri Kepulauan Borneo.
Selain Dalat, penulis juga pernah berkesempatan ke bahagian Kapit di saat projek jalan raya yang menghubungkan Sibu dan penempatan masih dalam pembinaan.
Dahulunya untuk menuju ke Kapit, ia akan mengambil masa sekitar empat jam menggunakan feri namun kini jarak perjalanan lebih pendek sekitar dua jam melalui Kanowit dan Song apabila projek jalan raya itu siap sepenuhnya pada 2020.
Projek Pan Borneo terus disegerakan untuk semua
Umum mengetahui projek mega Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) yang mula dibangunkan pada 2015 merupakan satu usaha murni dalam terus meningkatkan pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.
Pembinaan ini bukan sahaja berupaya memendekkan perjalanan dalam konteks keluasan kedua-dua negeri malah ia secara amnya dilihat sebagai satu projek yang sememangnya berdaya untuk membantu penduduk meluaskan punca pendapatan ekonomi mereka.
Dari Lundu ke Serudong, projek yang dianggarkan sepanjang 2,239 kilometer antara lain turut dihubungkan ke rangkaian jalan raya di Kalimantan, Indonesia yang dikenali sebagai Lebuhraya Trans-Kalimantan.
Bukan setakat Indonesia, malah pembinaan ini turut akan mampu menghubungkan penduduk kedua-dua negeri dengan Bandar Seri Begawan di Brunei.
Terkini, status kemajuan pembinaan LPB Sarawak fasa satu sudah mencapai 99 peratus siap melibatkan laluan sepanjang 786 kilometer.
Selain itu, Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A sudah mencapai tahap 77.41 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2026 dan sebanyak empat daripada keseluruhan 15 pakej kerja LPB Sabah dalam fasa itu sudah disiapkan, manakala baki 11 pakej dalam proses pembinaan.
Biarpun projek pembinaan masih berjalan sehingga kini, ia jelas menunjukkan usaha dan komitmen berterusan KKR dan kerajaan amnya dalam menyediakan infrastruktur yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat di Sabah dan Sarawak.
Malah dahulunya perhubungan dan jarak yang jauh serta masa yang panjang disertakan dengan laluan mencabar terpaksa ditempuh penduduk di kedua-dua negeri ini bagi menuju ke suatu lokasi, kini nyata langkah progresif ini memberi nafas baharu mereka di sana.
Ibarat kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Bukan setakat LPB, Sabah dan Sarawak terus dekat di hati kerajaan apabila mendapat peruntukkan tambahan untuk tahun ini bagi kerja-kerja penyenggaraan jalan persekutuan di kedua-dua negeri itu.
Buktinya, Sabah telah menerima RM130 juta manakala Sarawak pula menerima peruntukan sebanyak RM105.9 juta bagi tujuan tersebut.
Selain itu, untuk tahun ini juga, kerajaan menerusi KKR juga memperuntukkan sebanyak RM2.8 bilion bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan persekutuan sepanjang 2024.
Peruntukkan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meliputi beberapa teras utama dalam memperbaiki jalan raya seluruh negara.
Ia juga diperuntukkan untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur sedia ada kepada yang lebih canggih.
Seperti contoh, menggantikan lampu jalan kepada jenis LED yang mampu menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus.
Malah peruntukkan sama akan digunakan bagi menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di jalan-jalan Persekutuan bagi memperbaiki sistem trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Selain itu, kerajaan juga memperuntukan RM5.4 bilion pada tahun ini kepada kerajaan negeri menerusi Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat.
Ini jelas membuktikan kerajaan amat mementingkan keselamatan jalan raya selain memberi keselesaan kepada pengguna menggunakan kesemua infrastruktur asas yang terus menerus dibangun dan diselenggara sebaiknya.
Justeru, dengan peruntukan demi peruntukan yang diumumkan ini, Malaysia akan mampu menjadi unggul dan mungkin akan menjadi salah satu negara yang mampu menyediakan infrastruktur jalan raya berkelas dunia.
Walaupun banyak jalan raya utama dan lebuhraya di ibu negara, Kuala Lumpur dan Semenanjung sudah dibangun sebaiknya, pastinya satu hari nanti dengan komitmen berterusan KKR, pembangunan infrastruktur jalan raya di Sabah dan Sarawak juga mampu menyaingi sistem sedia ada di Semenanjung Malaysia.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
* Syafik Shukri Jalil merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan Sarjana dari School of Art and Media, University of Brighton, United Kingdom.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.