Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya mendapati ada kelemahan dari segi penyelarasan kerja di tapak dan jika terdapat sesuatu isu, ia terlalu lambat diselesaikan antara pihak berkaitan.
"Sebab itu, saya telah arahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR Datuk Zahrul Hakim Abdullah untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan dan difahamkan ia akan diadakan dalam waktu terdekat," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama penggiat industri pembinaan di Kompleks KKR di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dipercepat bagi membolehkan rakyat negeri itu menikmati kemudahan jalan raya lebih baik.
Nanta berkata beliau tidak bersikap 'cuci tangan' dalam isu kelewatan pembinaan projek itu kerana pelaksanaannya telah diserahkan kepada kerajaan negeri selaku pelaksana projek manakala KKR ialah pemantau.
"Mereka (Kerajaan Sabah) ada Kementerian Kerja Raya sendiri yang dilantik sebagai pelaksana projek. Jadi, saya bukan nak kata nak cuci tangan, tidak, tetapi kita akan kerap turun padang untuk bantu mereka kerana pakej kerja yang sakit perlu kita pulihkan untuk rakyat," katanya.
Sementara itu, Nanta berharap KKR menerima peruntukan yang lebih besar menerusi Belanjawan 2025 khususnya bagi kerja-kerja penyelenggaran jalan raya.
Beliau berkata pihaknya menerima peruntukan RM9.511 bilion iaitu peningkatan 12.7 peratus pada tahun ini berbanding RM8.439 bilion yang diterima pada 2023.
"Kalau tengok peruntukan untuk 2023 dan 2024, ada pertambahan kira-kira 12 peratus, jadi kita harap (peruntukan baharu) jangan kuranglah...kalau boleh, kita mahu lebih daripada itu," katanya.
Nanta berkata pihaknya juga akan memohon tambahan RM100,000 untuk setiap Jurutera Daerah bagi membantu menyelenggara jalan daerah pada tahun depan.
Beliau berkata setiap Jurutera Daerah diperuntukkan RM200,000 oleh Kementerian Kewangan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan yang kecil dan segera di kawasan masing-masing tahun ini, meningkat berbanding RM100,000 yang diterima pada 2023.
Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan akan dibentang pada 18 Okt depan di Dewan Rakyat.
-- BERNAMA