Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, ini bagi mengelakkan penularan wabak yang serius seperti yang berlaku pada musim banjir yang lalu tidak berulang.
“Apa yang kita hendak lihat ialah pengawasan dan dokumentasi sekiranya berlaku kes jangkitan COVID-19 di PPS. Kita ingin lihat keberkesanan KKM dan NADMA, terutamanya, dalam koordinasi untuk memantau pematuhan terhadap SOP oleh mangsa banjir.
“Juga, sekiranya ada kes jangkit, bagaimana ia akan diuruskan bagi mangsa yang bertukar status daripada ‘mangsa banjir’ kepada ‘mangsa banjir dan pesakit COVID-19’. Pengurusan ini yang kita hendak lihat carta alir yang sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
KKM, NADMA perlu tambahbaik pengurusan kes COVID-19 di PPS - MERCY Malaysia
Menurut Ahmad Faizal, pihak berwajib perlu mengambil kira keperluan untuk menyediakan ruangan kuarantin yang sewajarnya bagi tujuan pengasingan mangsa-mangsa banjir yang dijangkiti COVID-19.
“Adakah mangsa ini perlu diasingkan di PPS yang sama atau dihantar ke tempat lain? Atau mangsa berstatus pesakit COVID-19 ini dihantar terus ke pusat kesihatan atau hospital yang tidak terjejas akibat banjir.
“Kita perlu tahu ada pusat kesihatan yang terkesan akibat banjir. Ini berlaku tahun lalu di Kelantan dan Johor, terutamanya di Segamat dan Batu Pahat.
“Kita perlu perhatikan kali ini sama ada pengalaman pada musim banjir lalu telah diamati dan dibuat penambahbaikan,” tambahnya lagi.
Agenda AWANI: Misi bantuan kecemasan banjir