KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyasarkan satu juta pekerja sendiri mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pada tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, unjuran positif itu susulan data daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan seramai 622,473 pencarum setakat ini.

Menurutnya, terbaharu, lebih 180,000 rakan pemandu e-hailing dan p-hailing bakal menerima caruman SKSPS selepas Grab Malaysia menaja 10 peratus daripada kos caruman tersebut.

Katanya, baki 90 peratus kos caruman ditanggung kerajaan, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Menurutnya, tajaan itu membolehkan pemandu di bawah syarikat itu menerima perlindungan selama 12 bulan, bermula dari tarikh mereka didaftarkan.

“Berdasarkan maklumat Perkeso, sejak 2020 hingga Disember 2023, dalam sektor  pengangkutan penumpang dan penghantaran barangan dan makanan, e-hailing dan p-hailing, sebanyak 6,546 kes tuntutan telah diproses Perkeso.

“Bayaran faedah untuk sektor-sektor itu adalah berjumlah RM29.3 juta.

“Manakala bagi tahun ini sahaja, 1 Januari 2024 hingga 24 Mei 2024, sebanyak 2,033 kes tuntutan SKSPS telah diproses dengan bayaran faedah keseluruhan mencecah RM8.93 juta merangkumi 20 sektor.

“Untuk sektor e-hailing dan p-hailing, sebanyak 831 kes tuntutan telah dibuat dengan faedah pembayaran, tahun ini sebanyak RM3.3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Pertukaran MoU Antara Kesuma dan Perkeso Bersama Grab Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor.

Dalam pada itu, Rashid berkata, kerjasama berterusan dengan Perkeso menunjukkan komitmen syarikat menyediakan peluang pendapatan fleksibel kepada pekerja dan pada masa sama, memelihara kebajikan mereka.

“Rakan pemandu dan penghantar Grab memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia.

“Kami komited untuk menawarkan ketenangan fikiran kepada mereka dan keluarga mereka dengan menjamin kebajikan melalui pemberian insurans percuma, mudah cara caruman ke dalam SKSPS dan melaksanakan inisiatif keselamatan,” katanya.