Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini berkongsi tentang kewujudan portal kanak-kanak hilang setelah kesedaran masyarakat tentang laman web itu masih rendah sejak ia lancarkan pada Julai 2015.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Polis KL, ia berkata jenayah khususnya melibatkan kehilangan kanak-kanak dan remaja adalah tanggungjawab bersama pihak masyarakat juga.

"Kes melibatkan kanak-kanak dan remaja hilang amat membimbangkan. Kanak-kanak dan remaja yang hilang ini tidak diketahui nasib mereka dan malang sekali telah dilupakan masyarakat," menurut kenyataan itu.


Portal kanak-kanak hilang bertujuan untuk memberikan maklumat tentang kanak-kanak atau remaja yang dilaporkan hilang.

Antara maklumat yang boleh diperolehi di laman web ini termasuk nama, gambar, tanda pengenalan diri, dan maklumat seperti tarikh mereka hilang.

"Portal ini adalah salah satu inisiatif yang sangat baik oleh pihak PDRM bagi menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak dan remaja.

"Namun ia haruslah ditangani bersama masyarakat seiring dengan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'," kata kenyataan itu.

Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak D11, merekodkan sebanyak 567 kanak-kanak hilang dari Januari hingga 31 Mei lalu.