KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) nafi keluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan sebuah portal berita dalam talian yang mendakwa pasukan keselamatan itu merancang pertukaran melibatkan kepimpinan tertingginya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya telah mengesan satu laporan berita daripada sebuah portal dalam talian yang telah mendakwa tentang perancangan pertukaran itu.

"PDRM ingin menegaskan, tiada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara yang dimaksudkan. PDRM telah menghubungi pihak portal berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan di dalam laporan berita itu.

"PDRM menasihatkan semua pihak agar tidak memetik sebarang sumber yang tidak rasmi, terutama melibatkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita dalam laporannya mendakwa Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain antara nama yang bakal ditukarkan ke agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri.

-- BERNAMA