KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Daerah Klang yang terlibat dengan Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah selesai dialihkan menerusi Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Ahmad Shahzihan Ahmad berkata, kerja-kerja pengalihan kesemua plot kubur berkenaan telah bermula pada 6 sehingga 9 Januari.

"JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berperanan sebagai pihak yang memantau kerja-kerja pengalihan kubur dengan mengikut pelan kerja yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), JMNS, PDRM dan Malaysia Rail Link (MRL).

"Sepanjang proses pengalihan kubur dijalankan, pihak waris dan orang awam dilarang untuk mendekati kawasan proses pengalihan kubur bagi memastikan langkah-langkah kesihatan, keselamatan dan kelancaran semua kerja-kerja yang berlaku di lapangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pemakluman awam kepada waris untuk membuat pengecaman plot kubur ahli keluarga sebelum 5 Januari dan pemakluman kerja-kerja pengalihan kubur pada 6 sehingga 9 Januari telah dibuat oleh JAIS.

Katanya, ia dilakukan menerusi pengumuman di semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor selama tiga kali berturut-turut pada Jumaat iaitu pada 20 Disember 2024, 27 Disember 2024 dan 3 Januari 2025.

"Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pula telah membuat hebahan awam melalui Facebook rasmi, manakala Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. telah membuat pemakluman hebahan awam melalui laman sesawang dan papan tanda di tapak berkenaan.

"JAIS bersyukur dan berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan pengalihan 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang dapat disempurnakan dengan lancar," katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Shahzihan menzahirkan terima kasih kepada ahli waris yang memberi kerjasama penuh ketika proses pengalihan kubur

Katanya, JAIS juga akan mengadakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa untuk jenazah yang terlibat dalam pengalihan kubur, dalam tempoh terdekat.

Ujarnya, semua ahli waris akan dimaklumkan mengenai perkara itu.