KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang wanita di Gombak, Selangor semalam kerana disyaki menipu seorang pesara berusia 59 tahun dalam urusan penjualan sebidang tanah lot mengakibatkan kerugian RM60,400.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata penahanan wanita berumur lingkungan 40-an itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa pada 4 Ogos lepas.

Ramli berkata mangsa mendakwa telah menandatangani satu dokumen perjanjian jual beli tanah seluas 1.62 hektar kononnya berdasarkan surat kuasa yang diberikan pemilik-pemilik asal tanah itu kepada suspek pada 5 Nov 2021.

"Mangsa dimaklumkan suspek dalam proses permohonan untuk memecahkan tanah itu kepada 92 lot individu. Bagaimanapun, setelah bayaran dibuat, tiada sebarang pembangunan dilakukan terhadap tanah terbabit termasuk pecahan lot," katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa turut berjumpa dengan seorang daripada pemilik asal tanah berkenaan yang memaklumkan tidak menerima sebarang pembayaran daripada suspek bagi tujuan pembelian tanah itu.



POLIS-TANAH 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



"Hingga kini, hak milik tanah terbabit masih kekal atas nama pemilik asal. Suspek kini direman selama tiga hari hingga 14 Ogos. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata susulan kes terbaharu berkenaan, jumlah laporan polis berkaitan penipuan penjualan tanah lot di sekitar Selangor membabitkan wanita itu sejak 2016 ialah 15 kes melibatkan kerugian sebanyak RM547,650.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menandatangani perjanjian jual beli dengan pemilik asal tanah kononnya untuk membeli tanah itu kemudian mengiklankan penjualan semula tanah itu secara pecahan lot.

"Bagi meyakinkan mangsa, suspek akan menunjukkan dokumen pembelian tanah ataupun mendakwa bahawa dia telah memperoleh kuasa mentadbir daripada pemilik asal tanah ... mangsa-mangsa akan membuat bayaran bagi membeli lot tanah yang ditawarkan," katanya.

Ramli berkata daripada 15 laporan polis berkenaan penipuan penjualan lot tanah itu, suspek telah dituduh empat kes dan perbicaraan masih berjalan di mahkamah.

-- BERNAMA