KUALA LANGAT: Lima lelaki termasuk dua warga asing ditahan pihak polis berhubung satu kejadian culik melibatkan dua beradik lelaki, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan jam 8.45 pagi pada hari kejadian menyatakan dua adik lelakinya diculik.

Menurutnya, dalam kejadian jam 7 pagi itu, wanita berusia 29 tahun terbabit berada di rumahnya dan didatangi beberapa lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta serta bersenjatakan batang besi.

Beliau berkata, suspek telah memanggil dua adik wanita terbabit dan membawa kedua-duanya beredar dari rumah sebelum salah seorang daripadanya kembali semula ke rumah beberapa minit selepas itu.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya memberkas tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing, selain berjaya menyelamatkan mangsa di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor pada Khamis jam 2.30 pagi.

"Hasil semakan terhadap suspek mendapati dua lelaki tempatan berusia 22 hingga 31 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah dan dua rekod jenayah lampau.

"Seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 21 tahun dan dua lelaki warga asing berusia 35 dan 37 tahun tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Ridhwan berkata, motif atau punca mangsa berusia 26 tahun diculik kerana tidak mahu membayar ganti rugi kenderaan suspek yang dipinjamnya.

Katanya, dalam serbuan tersebut, polis merampas sebuah kenderaan yang dilaporkan dicuri di kawasan Klang dan beberapa peralatan pecah rumah serta pelbagai barangan hasil kegiatan pecah rumah dan curi.

Menurut beliau, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan kes melarikan orang dan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di sekitar daerah Kuala Langat serta satu kes curi kenderaan di Klang.

Tambahnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Telok Datok bagi permohonan reman.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

"Tangkapan juga turut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 457 kanun yang sama bagi kesalahan pecah rumah," ujarnya. - Sinar Harian