Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan satu kemalangan jalan raya di Jalan Duta Mas, Kuala Lumpur pada 4 September lalu agar tampil memberi kerjasama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata rakaman CCTV kejadian menunjukkan pemandu sebuah kenderaan MPV model Toyota Estima berwarna putih berhenti untuk melihat kejadian.

Rakaman itu dipercayai ada kaitan dengan kes penculikan dan pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

"Pada 4 September, kemalangan lebih kurang pada jam 7.51 pagi itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penculikan mendiang Kevin Morais ketika itu,'' katanya.


Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis atau Rakancop di talian 03-2115 9999.

Dalam perkembangan sama, Zainuddin turut memaklumkan bahawa seorang lagi suspek ditahan berhubung kes tersebut.

dalam satu kenyataan hari ini berkata suspek, seorang lelaki India berumur 22 tahun, itu ditahan semalam di Kulim, Kedah.

"Suspek kini ditahan selama tujuh hari selepas polis mendapat reman hari ini. Ketika ini, lima suspek telah ditahan untuk siasatan kes ini," kata Zainuddin.

Mayat Kevin Morais dijumpai dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya, pagi semalam, selepas salah seorang daripada tujuh suspek membawa polis ke lokasi tong itu di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 September lalu selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Polis percaya pembunuhan Morais mungkin bermotifkan balas dendam berhubung perbicaraan yang dikendalikannya yang melibatkan seorang doktor di hospital angkatan tentera.