Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada AGC untuk tindakan lanjut, dan pihak AGC mengklasifikasi kes itu sebagai NFA.
"Itulah yang kita jelaskan kepada pihak Betty Banafe dan pengadu Datuk Shakib Banafee sendiri dan Alhamdulillah mereka faham akan penjelasan itu, mereka menerimanya.. apa-apa tindakan lanjut dan sebagainya itu adalah di luar bidang kuasa polis.
"Saya juga menjelaskan kepada mereka, sekiranya ada ketidakpuasan hati berkenaan dengan keputusan AGC, maka mereka perlu menulis kepada AGC untuk mengetahui punca kes tersebut diklasifikasikan NFA," katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan bersama Betty dan Syakib di pejabatnya di sini hari ini.
Syarikat perkapalan milik Shakib mengalami kerugian mencecah ratusan juta ringgit selepas mendakwa terdapat unsur penipuan dan penyelewengan dalam kalangan pengurusan tertinggi syarikat tersebut.
Ramli dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan 14 laporan polis telah dibuat oleh Shakib Banafee dan empat penama lain dan semua laporan tersebut disiasat dengan sewajarnya oleh pihak polis.
Ramli menjelaskan bahawa tujuan beliau memanggil Betty dan adiknya itu hari ini bukanlah untuk merakam keterangan, sebaliknya untuk memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan pelakon wanita itu yang tular di media sosial.
Sementara itu Betty yang ditemui selepas pertemuan itu berkata mereka menerima nasihat yang diberikan PDRM dan akan mengambil langkah seterusnya dengan menghubungi AGC.
"Keputusan NFA itu bukan dibuat oleh polis tetapi ia justifikasi oleh AGC. Jadi pihak polis telah melakukan kerjanya dalam siasatan dan bagi pihak kami pula, kami harus ke AGC untuk mendapatkan maklum balas daripada AGC," katanya.
-- BERNAMA