Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Muhammed Yusoff Rawther, 31, selaku plaintif berkata pihak AGC telah memfailkan afidavit jawapan yang membantah permohonan terbabit.
"Pada pengurusan kes hari ini, mahkamah memberi peluang kepada pihak kami untuk menjawab afidavit jawapan itu sebelum pengurusan kes selanjutnya pada 20 Jan 2025," katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Prosiding itu turut dihadiri Peguam Persekutuan Muhammad Muhairi Mohamed Noh, bertindak bagi pihak AGC.
Dalam pada itu, Muhammad Rafique berkata AGC juga membantah permohonan anak guamnya untuk merujuk persoalan undang-undang sama ada Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 berperlembagaan atau tidak ke Mahkamah Persekutuan.
Berdasarkan afidavit jawapan kerajaan Malaysia selaku defendan, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman berkata sebarang isu perlembagaan Seksyen 41B ADB 1952 tidak sewajarnya dibawa di hadapan Mahkamah Tinggi Sivil melalui saman pemula itu, sebaliknya ia perlu dibangkitkan di hadapan Mahkamah Tinggi Jenayah yang mempunyai bidang kuasa menentukan isu terbabit.
"Segala fakta dan keterangan secara menyeluruh berhubung penangkapan plaintif (Muhammed Yusoff) dan pertuduhan jenayah terhadapnya akan dikemukakan pihak pendakwaan di hadapan Mahkamah Tinggi Jenayah yang mendengar kes berkenaan," kata Mohd Sabri.
Muhammed Yusoff yang memfailkan saman itu pada 27 Sept lepas memohon suatu deklarasi bahawa Seksyen 41B ADB 1952 yang menghalang mahkamah daripada menjalankan kuasa budi bicara dalam membenarkan jaminan kepada plaintif yang dituduh di bawah Seksyen 39B ADB 1952 adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Turut dimohon suatu perintah bahawa di bawah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah, mahkamah mempunyai kuasa memberikan jaminan kepada plaintif yang dituduh di bawah seksyen itu dan suatu perintah susulan bahawa plaintif dibenarkan mengemukakan permohonan jaminan sementara pelupusan perbicaraan.
Menerusi afidavit sokongan dalam saman itu, Muhammed Yusoff berkata mana-mana perbicaraan bagi kes 39B ADB 1952 akan memakan masa lama untuk diselesaikan kira-kira tiga hingga lima tahun dan dia tiada pilihan lain kecuali meringkuk di dalam penjara untuk suatu kes atau perkara yang tidak dilakukannya langsung.
Pada 12 Sept lepas, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
-- BERNAMA