KUALA LUMPUR: Sembilan daripada 13 individu yang berdepan pertuduhan menculik lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan terhadap mereka.

Peguam Norma Goh Kim Lian memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy bahawa representasi untuk menggugurkan atau mengurangkan pertuduhan ke atas kesemua anak guamnya dihantar bulan lepas.

Mereka ialah Mohamad Norakmal Hassan, Dody Junaidi, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, Mohamad Naziree Mustapha, Faizull Hardey Mohd Isa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, Mohamad Sufian Saly, Mohd Zaidi Mohd Zain dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, yang berusia lingkungan 25 hingga 56 tahun.

Peguam Muhammad Amin Abdullah yang mewakili Nidarahayu Zainal, 36; peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan mewakili Raibafie Amdan, 41; peguam Adi Zulkarnain Zulkafli bagi Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi dan peguam Navinjit Singh mewakili Edy Ko'im Said, 42, turut memaklumkan mahkamah mereka akan menghantar representasi sama dalam tempoh terdekat.

Muniandy kemudian menetapkan lima hari iaitu 7 hingga 11 Julai tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes itu.

"Memandangkan kesemua tertuduh berhasrat dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu kes dibicarakan, mahkamah menetapkan 22 Ogos ini untuk pendengaran bagi permohonan ikat jamin," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh berkata pihaknya akan memanggil 30 saksi pada perbicaraan kes itu.

Pada 7 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi dan bukan Mahkamah Sesyen.

Pada Oktober 2022, 12 lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan secara niat bersama menahan mangsa, 31, untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 Sept 2022 mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang membawa hukuman minimum penjara 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA