PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi dilaporkan meningkat kepada 1,760 kes pada Minggu Epidemiologi ke-39 (ME39) iaitu bagi tempoh 22 hingga 28 September lepas berbanding 1,514 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata terdapat satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME39.

Beliau dalam kenyataan di sini hari ini berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME39 adalah sebanyak 103,510 kes berbanding 89,474 kes bagi tempoh sama pada 2023.

Manakala terdapat 92 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 65 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME39 adalah sebanyak 32 berbanding 33 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata dari 32 lokaliti dilaporkan, 21 di Selangor, lima di Negeri Sembilan, tiga di Pulau Pinang, dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta satu di Kelantan.

Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata terdapat satu kes direkodkan pada ME39.

Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 76 dan tiada wabak dilaporkan pada ME39, tambah beliau.

Bagi survelan zika, sebanyak 2,027 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan dan keputusan adalah negatif.

Dr Muhammad Radzi berkata denggi ialah penyakit yang mempunyai corak penularan bermusim dan situasi semasa menunjukkan trend penurunan kes demam denggi sejak Ogos lepas.

Beliau seterusnya berkata berdasarkan trend kes denggi tahun sebelumnya, ia dijangka akan meningkat semula menjelang akhir tahun akibat faktor cuaca dan pergerakan manusia.

Oleh itu, langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan persekitaran dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes perlu diteruskan untuk mengelakkan sebarang lonjakan kes pada masa hadapan.

-- BERNAMA