Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata trend itu boleh dilihat melalui pengurangan jumlah tangkapan melibatkan kes penyeludupan migran kebelakangan ini.
Beliau berkata kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 merekodkan penurunan iaitu 13 kes pada 2022 kepada empat kes tahun lepas.
"Trend jenayah (di perairan) ini, semakin berkurangan dan berubah-ubah bergantung kepada sindiket-sindiket yang terlibat dalam aktiviti ini.
"Sepanjang tahun ini, Maritim Malaysia berjaya menggagalkan 64 kes yang melibatkan pendatang asing, dengan 249 individu berjaya ditahan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Operasi Redback 19/2024 antara Maritim Malaysia dan Pasukan Sempadan Australia (ABF) di sini pada Khamis.
Turut hadir Kaunselor ABF di Suruhanjaya Tinggi Australia Superintendan Brooke Leung serta Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.
Mohd Zawawi berkata sebanyak 60 pemeriksaan dijalankan terhadap semua jenis kapal di perairan negara, dan satu tangkapan dilakukan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di bawah lima batu nautika.
Beliau berkata operasi itu turut melibatkan sesi dialog bersama komuniti maritim di dua lokasi iaitu Kampung Kelanang dan Kompleks Agrotourism Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di Sepang, Selangor.
"Menerusi usaha dialog ini, kami dapat memperkukuhkan kerjasama dengan komuniti maritim, sekali gus memudahkan pihak Maritim Malaysia mendapatkan maklumat-maklumat terkini terutama berkaitan jenayah rentas sempadan," katanya.
Operasi ini terhasil menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Australia pada tahun 2011, yang turut melibatkan pertukaran maklumat dan risikan terkini berhubung taktik serta modus operandi jenayah di kawasan perairan antara kedua-dua negara dalam memperkukuh jaringan keselamatan.
Op Redback 19 dilaksanakan bermula 2 Dis lepas melibatkan penguatkuasaan sehingga 118 batu nautika di kawasan perairan Selangor bermula dari Sabak Bernam hingga Kuala Sepang.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata pihaknya telah bersiap siaga bagi melaksanakan operasi membanteras penyeludupan vape atau rokok elektronik yang dijangka berlaku susulan tindakan kerajaan mengetatkan penjualan produk berkenaan.
"Dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, vape tidak boleh dijual secara terbuka dan bebas. Kita tidak menolak kemungkinan vape akan dibawa masuk melalui jalan laut yang berkemungkinan menjadi satu kegiatan penyeludupan... Maritim Malaysia bersedia bagi membanteras kegiatan itu," katanya.
-- BERNAMA