BANGI: Sebanyak enam daripada tujuh penanda aras kerangka Ekonomi MADANI kini berada di landasan tepat dan berupaya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Perpaduan menjelang 2033.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, enam sasaran yang ditetapkan itu menunjukkan peningkatan untuk tahun pertama pelaksanaannya.

Katanya, enam sasaran itu termasuk untuk mencapai saiz ekonomi Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia (2023 di kedudukan 35 berbanding 38 pada 2022), pendapatan buruh membentuk 45 peratus daripada jumlah pendapatan (2023: 33 peratus berbanding 2022: 32 peratus) dan kadar penyertaan wanita sebanyak 60 peratus (2023: 56.2 peratus berbanding 2022: 55.6 peratus).

Selain itu, katanya, pelaksanaan untuk mencapai sasaran kerajaan bagi indeks pembangunan manusia di tangga 25 teratas dunia (2022: 63 berbanding 2021: 68), indeks persepsi rasuah di tangga 25 teratas dunia (2023: 57 berbanding 2022: 61) serta indeks fiskal mencapai 3.0 peratus atau lebih rendah (2023: 5.0 peratus berbanding 2022: 5.5 peratus) menunjukkan prestasi yang baik.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan dan pelan tindakan khas perlu diadakan untuk kerajaan mencapai satu lagi sasaran iaitu berada kedudukan ke-12 teratas dunia dalam Indeks Daya Saing Global dalam kalangan 67 negara.

"Indeks itu menunjukkan kedudukan Malaysia menurun dengan ketara ke tangga ke-34 pada tahun ini berbanding tangga ke-12 pada 2014," katanya pada sidang media khas Setahun Ekonomi MADANI dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), di sini, pada Khamis.

Katanya, bagi pelaksanaan Ekonomi MADANI menjelang 2033, sasaran berkenaan perlu diberi tumpuan serius kerana kedudukan indeks tersebut amat penting untuk memastikan Malaysia menjadi destinasi pilihan pelabur luar dan pelabur domestik serta untuk mengelakkan tenaga kerja mahir tempatan daripada berhijrah keluar.

Menurutnya, daripada empat segmen yang diberi fokus dalam Indeks Daya Saing Global, hanya prestasi ekonomi yang dilihat meningkat berbanding segmen kecekapan perniagaan, kecekapan kerajaan dan infrastruktur yang menunjukkan trend penurunan.

Pada masa sama, beliau berpendapat, pelaksanaan Ekonomi MADANI dari segi perincian dan kerangkanya adalah baik dan bersesuai dengan keperluan negara, namun memerlukan tindakan yang khusus dan berdedikasi termasuk siapa yang melaksanakan sasaran itu dan apa tindakan yang perlu dilakukan.
- BERNAMA