KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada landasan yang betul dalam mengurangkan kadar defisit secara konsisten, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata paras defisit fiskal telah menunjukkan trend penurunan daripada kadar 6.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 kepada 5.5 peratus pada 2022 dan lima peratus pada 2023.

Defisit 2024 pula diunjur akan terus berkurang kepada 4.3 peratus dan disasarkan kepada 3.8 peratus pada 2025.

"Nampaknya...kita berada di landasan yang betul kerana tahun depan kita unjur turun di bawah 3.8 peratus. Insya-Allah, kita akan dapat mengawalnya lebih elok," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Senator Hussin Ismail yang ingin tahu mengenai jumlah hutang negara.

Selaras dengan pengurangan defisit, hutang baharu kerajaan berkurang daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 seterusnya kepada anggaran RM84.7 bilion pada 2024 dan disasarkan sekitar RM80 bilion pada 2025, katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan berusaha mengurangkan defisit mengikut Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu sasaran defisit fiskal tiga peratus antara 2026 dan 2028.

-- BERNAMA