KUALA LUMPUR: Pengambilalihan pengeluar tenaga bebas (IPP) bukanlah idea Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bekas Perdana Menteri itu mengambil masa yang agak lama untuk memberi kelulusan selepas ia dicadangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili Najib, berkata justeru itu adalah jelas anak guamnya tidak membuat sebarang rancangan untuk kepentingan beliau.

"Idea untuk mengambil alih IPP Tanjong Energy (Holdings Sdn Bhd) timbul tiga bulan sebelum Datuk Seri Najib memberikan kelulusan melalui Minit Perwakilan (MR) dan Resolusi Khas Pemegang Saham (SSR).

"Malah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pernah menyebut mengenai perkara ini dalam keterangannya di mahkamah yang menyatakan bahawa ia adalah peluang baik untuk 1MDB menceburi sektor tenaga di Malaysia dan membenarkan sektor itu diurus oleh syarikat milik kerajaan iaitu 1MDB," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan hari ini membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram Najib di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, Najib tiba di mahkamah dalam keadaan berkerusi roda selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini kerana keradangan lutut akut dan beliau juga dilihat berjalan perlahan-lahan dengan bantuan tongkat.

Sequerah membenarkan permohonan pembelaan agar Najib duduk di luar kandang tertuduh bagi membolehkan beliau meregangkan kakinya.

Sementara itu, berhubung pertuduhan kedua yang dihadapi Najib, Wan Azwan Aiman berkata pendakwaan gagal mengemukakan keterangan bagi membuktikan bahawa tertuduh telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk memperoleh suapan lebih RM90 juta daripada dana 1MDB untuk kepentingan peribadi.

"Meskipun fakta kes berbeza dari segi pemasaan dan inti pati, keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan secara konsisten membuktikan bahawa Najib tidak bertanggungjawab bagi dakwaan salah laku itu.

"Tiada keterangan daripada mana-mana saksi dalam kes ini termasuk bekas CEO 1MDB iaitu Shahrol Azral dan Mohd Hazem Abd Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo yang menunjukkan tindakan mereka adalah untuk memuaskan hati Datuk Seri Najib," katanya.

Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 yang dikaitkan dengan transaksi di AmIslamic Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA