Bahkan, apa yang dilihat sangat mengecewakan bekas Perdana Menteri itu ialah, ramai yang hanya menunjuk muka sewaktu mencari kesenangan dan ada juga bermuka-muka.
“Tetapi hidup ini memang penuh pengajaran. Di kala kepahitan hari ini, ada setitik kemanisannya dan penghargaan,” kata bekas Presiden UMNO itu dalam hantaran di akaun Facebooknya pada Rabu.
Semalam, beliau diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi atas pendakwaan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.
Dalam hantaran yang sama, bekas Ahli Parlimen Pekan itu berterima kasih kepada semua pihak yang sanggup hadir bagi menunggu perkembangan keputusan berhubung kes tersebut.
“Dilihat begitu ramai dari kalangan penyokong dan rakyat biasa yang mengenang jasa dan merindui dasar pentadbiran dahulu.
“Ikhlas. Inilah yang benar-benar sahabat sejati. Semoga persahabatan di dunia ini kekal, dibawa dan menjadi modal di akhirat,” luah Najib yang kini berusia 71 tahun itu lagi.