KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mengelak daripada menjawab isu Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya berpegang kepada prinsip undang-undang kerana perkara itu masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa beliau berpegang kepada prinsip undang-undang dan tidak mengelak daripada menjawab isu Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana ia masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
  • Perdana Menteri menyatakan bahawa pembangkang seolah-olah tidak menghiraukan prinsip subjudis dan terus menekan untuk mendapatkan jawapan segera, walaupun beliau telah memberi jaminan bahawa penjelasan akan diberikan selepas kes selesai.
  • Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa keadaan ekonomi negara berada dalam trend positif berdasarkan data pelaburan, pasaran saham dan bon, serta keuntungan syarikat-syarikat tempatan.


Namun katanya, pembangkang seolah-olah tidak menghiraukan prinsip subjudis dan cuba bertindak above the law.

Beliau berkata, meskipun pembangkang terus menekan untuk mendapatkan jawapan segera, beliau telah memberi jaminan di Parlimen bahawa segala penjelasan akan diberikan selepas kes selesai.

"Saya tidak faham, maksud dia apa? Soal tidak jawab adendum saya sudah bagi tahu saya nak jawab macam mana, ini kes mahkamah. Saya boleh jawab, saya dah bagi jaminan di Parlimen. Selesai kes mahkamah saya akan jawab, saya nak tengok Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) hadir atau tidak.

"Nak lari daripada mana? Kamu boleh jerit banyak mana pun. Saya tahu faktanya, tapi nak suruh singgung kedudukan Raja, saya tak boleh. Dalam hal ini, boleh periksa saya memang (ada) hubungi (Majlis ) Raja-Raja," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan sudah memaklumkan tindakan untuk tidak membincangkan isu Titah Adendum adalah selaras dengan prinsip pemisahan kuasa.

Sementara itu, Perdana Menteri turut memberitahu, keadaan ekonomi negara berada dalam trend positif, berdasarkan data pelaburan, pasaran saham dan bon, serta keuntungan syarikat-syarikat tempatan.

"Saya nak tanya angka ini dari mana? Pelaburan meningkat jadi cakap itu tidak bertanggungjawab sebab itu kita jawab tegas, cakap mengarut tidak berdasarkan fakta.

"Semua angka dari bon, dari pelaburan, daripada pasaran saham, dari segi keuntungan syarikat semua menunjukkan upward dan sebab menjadi perhatian beberapa syarikat antarabangsa dan pelawat-pelawat dunia itu dilihat angka-angka ini.

"Nasib baik dia (pelabur) tidak dengar Ketua Pembangkang, kalau tidak tak datang dia," sindirnya.