KUALA LUMPUR: Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menasihati pihak berkaitan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan di luar mahkamah sehingga boleh menjejaskan perbicaraan.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib membangkitkan isu mengenai tindakan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengadakan sidang akhbar hari ini berhubung permohonan beliau untuk menemu bual bekas pegawai bank Goldman Sachs iaitu Roger Ng Chong Hwa.

"Boleh saya cadangkan kepada Tan Sri mengenai permohonan yang ingin dibuat itu, sudah tentu anda berhak mengemukakannya tetapi mungkin kita boleh mengelak daripada mengeluarkan kenyataan.

"Saya hanya boleh memberikan nasihat agar pihak berkaitan tidak mengeluarkan kenyataan di luar mahkamah... gunakan hak anda untuk membuat permohonan. Setakat ini, semua pihak saling menghormati, jadi biarlah kita kekal begitu," katanya.

Terdahulu, sejurus prosiding pada sebelah petang bermula, Ahmad Akram memaklumkan bahawa pendakwaan membantah sidang akhbar Muhammad Shafee berhubung permohonan pembelaan untuk menemu bual Ng atas alasan ia menjurus kepada tindakan menghina dan menghalang mahkamah.

 "Apa-apa sahaja yang dinyatakan dalam keterangan adalah tertakluk kepada pemeriksaan balas pihak kami. Tindakan membawa perkara ini kepada umum dan media adalah subjudis serta menghalang proses perbicaraan.

"Kenyataan Tan Sri Muhammad Shafee iaitu 'mari kita dengar apa kata pihak pendakwaan mengenai perkara ini' tidak menyentuh ego kami tetapi memberikan tekanan kepada kami untuk memberi respons kepada permohonan yang mereka belum kemukakan. Perbuatan seperti ini harus dihentikan," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata beliau tidak memahami bantahan itu kerana mendakwa telah memaklumkan mahkamah mengenai hasratnya untuk menemu bual Ng pada prosiding sebelah pagi.

"Saya telah menyatakan perkara ini dalam mahkamah terbuka dan memaklumkan pihak media. Saya ingin mendengar apa yang pihak pendakwaan ingin katakan," katanya.

Hari ini adalah hari keenam bekas Ahli Parlimen Pekan itu memberi keterangan bagi membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pada 30 Okt lepas, Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan setelah memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA