KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi esok akan memutuskan sama ada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan atau diperintah membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.


Ringkasan AI
  • Keputusan Mahkamah Tinggi: Esok, Mahkamah Tinggi akan memutuskan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan atau diperintah membela diri atas empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
  • Perbicaraan dan Saksi: Perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun ini melibatkan 50 saksi utama termasuk bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. 3, Pertuduhan dan Hukuman: Najib menghadapi hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda besar jika disabit kesalahan. Beliau juga telah menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022 atas kesalahan lain berkaitan SRC International Sdn Bhd.


Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dijadualkan membaca keputusan berkenaan pada 9 pagi.

Pada 30 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 50 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun, bermula 28 Ogos 2019.

Antara saksi utama yang dipanggil semasa perbicaraan termasuk bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan serta Pegawai Penyiasat SPRM Supt Kanan Nur Aida Ariffin.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar dan Ahmad Akram Gharib manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 Sept 2018, dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2018.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bekas menteri kewangan itu berhadapan dengan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dairpada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Selain kes 1MDB dan SRC, Najib juga berdepan pertuduhan pengubahan wang haram tambahan melibatkan RM27 juta daripada SRC International dan kes berkenaan telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 19 Mei tahun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy.

Najib juga dituduh bersama bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam enam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan RM6.6 bilion dalam dana kerajaan berkaitan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 14 Nov ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.

-- BERNAMA