KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah yang sama perlu membela diri akan diputuskan pada 30 Okt ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar perbicaraan itu akan membuat keputusan sama ada untuk memerintahkan Najib membela diri, atau membebaskannya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang trelah melaksanakan penghujahan yang lengkap dan mendalam. Saya akan menyampaikan keputusan pada 30 Okt ini," kata hakim Sequerah selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai menyampaikan hujah hari ini.

Hujahan di akhir kes pendakwaan bermula pada 19 Ogos, dan berlangsung selama 12 hari.

Najib, 71, berhadapan dengan empat pertuduhan menyalah guna kedudukannya bagi mendapatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

-- BERNAMA