SIK: Kebakaran sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan  pagi tadi membawa kepada pembongkaran kegiatan pengedaran ketum.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, sebelum itu dalam kejadian jam 5.30 pagi tadi, sebuah kereta jenis Proton Saga terbabit kemalangan, dipercayai terbabas di Jalan Kampung Tala. di sini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, kereta terbabit terbakar dan api berjaya dipadam pasukan bomba dari Balai Bomba Penyelamat Sik yang tiba tidak lama kemudian.

“Hasil pemeriksaan di bahagian ruang belakang kereta telah menjumpai beg plastik yang terbakar dimana di dalamnya berisi daun ketum.

“Siasatan polis turut mendapati pemandu kenderaan terbabit melarikan diri sebaik kebakaran berlaku. Kereta terbabit terbakar seratus peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kereta terbabit terbakar seratus peratus.- Foto JBPM

Abdull Razak berkata, pihaknya kini menantikan laporan daripada Unit Forensik Bomba dan Polis bagi mengetahui punca kejadian.

Katanya, polis turut sedang mengesan pemilik kenderaan terbabit menerusi nombor pendartaran kenderaan terbabit.

Hasil pemeriksaan di bahagian ruang belakang kereta telah menjumpai beg plastik yang terbakar dimana di dalamnya berisi daun ketum. - Foto PDRM

Kes disiasat kini di bawah Peraturan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).