LENGGONG: Seorang wanita nyaris maut apabila kereta jenis Nissan Sentra yang dipandunya terbabas lalu terbakar di Kampung Baru Air Kala, Jalan Lenggong - Gerik, dekat sini, hari ini.

Wanita berusia 28 tahun itu sempat menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.30 pagi.

“Mangsa telah berjaya keluar dengan sendiri daripada kenderaan tersebut sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Mangsa mengalami cedera ringan dan dihantar ke klinik menaiki ambulans pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota melakukan pemadaman dengan menggunakan satu aliran hos reel air dari tangki jentera sehingga api dipadam sepenuhnya.

Katanya, kejadian itu menyebablan kereta berkenaan musnah terbakar 85 peratus.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Mazlan Mohamad tamat jam 9.20 pagi.