Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata mangsa dikenal pasti sebagai A Mughilan.
Katanya, identitinya disahkan melalui bedah siasat dan pengecaman bapa mangsa pada pagi Selasa.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Bidor.
"Pihak polis terima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 11.10 malam Isnin.
"Siasatan mendapati mangsa yang memandu telah hilang kawalan dan terbabas sendiri masuk ke dalam parit lorong bertentangan lalu terbalik serta terbakar.
"Pihak bomba hadir ke tempat kejadian dan api berjaya dikawal selepas 30 minit.
"Mangsa telah ditemui rentung di dalam kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Ujar Ahmad Adnan, akibat kemalangan tersebut, mangsa yang mengalami kebakaran seluruh anggota badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan pada Selasa, sekitar jam 12.10 tengah malam untuk tujuan pengecaman mayat dan bedah siasat.
"Pengecaman telah dibuat oleh waris iaitu bapa kandung mangsa," katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, polis akan membawa kenderaan berkenaan untuk dihantar bagi pemeriksaan Puspakom.
Katanya lagi, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan berlaku.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Syamil Abd Manan di talian 011-10065817.
Terdahulu, media melaporkan seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya rentung setelah kereta jenis Honda City yang dipandu terbabas ke dalam parit lalu terbakar sebanyak 98 peratus.