Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau sendiri tidak menerima atau dimaklumkan tentang dokumen tersebut.
"Perkara ini melibatkan Lembaga Pengampunan dan kita juga ambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini diremit semula ke Mahkamah Tinggi.
"Justeru kita perlu mengambil pandangan dan nasihat daripada Peguam Negara tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut," katanya dalam sidang media mingguan kementerian, pada Rabu.
Tambah Fahmi, kerajaan mengambil masa untuk mengiktiraf kewujudan Titah Adendum berkenaan kerana perlu berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah.
"Kita tertakluk pada prinsip subjudice, maka kita akur dan patuh. Proses di mahkamah itu diteruskan," katanya lagi.
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Isnin membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Sehubungan itu panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.