KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membenarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengeluarkan e-Invois yang disatukan iaitu yang menggabungkan semua urus niaga jualan setiap bulan.


Ringkasan AI
  • Kerajaan membenarkan PMKS mengeluarkan e-Invois bulanan yang dikemukakan kepada LHDNM dalam tempoh tujuh hari pertama bulan berikutnya.
  • Terdapat dua kaedah penghantaran e-Invois: melalui Portal MyInvois dan Sistem POS tanpa kos tambahan, atau integrasi sistem perakaunan dengan MyInvois.
  • Peniaga kecil dengan jualan tahunan di bawah RM150,000 tidak perlu mengeluarkan e-Invois, tetapi kerajaan menggalakkan mereka untuk turut serta dalam inisiatif e-Invois.


Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata PMKS hanya perlu dikemukakan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam tempoh tujuh hari pertama dalam bulan berikutnya.

"Kerajaan sedar akan cabaran yang akan dihadapi PMKS dalam mengadaptasi e-Invois ini terutamanya peningkatan kos operasi, penerapan teknologi, dan jurang kesediaan pengetahuan berkenaan e-Invois," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta menyatakan perincian usaha kerajaan untuk menjelaskan dan membantu para pengusaha PKS dalam pelaksanaan e-Invois sertakaedah kawalan kos penyelenggaraan sistem tersebut.

Beliau berkata terdapat dua kaedah penghantaran e-invois kepada LHDNM; penghantaran data melalui Portal MyInvois dan Sistem Point of Sales (POS) yang tidak melibatkan kos tambahan; atau integrasi sistem perakaunan perniagaan dengan sistem My Invois.

Peniaga yang memilih untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan pembekal teknologi,insentif cukai telah disediakan termasuk pengurangan tempoh tuntutan elaun modal daripada empat tahun kepada tiga tahun bagi pembelian peralatan ICT dan pakej perisian komputer berkuatkuasa mulai tahuntaksiran 2024.

Peniaga juga katanya akan menikmati potongan cukai sehingga RM50,000 bagi setiap tahun taksiran bagi perbelanjaan yuran perundingan yang ditanggung PMKS mulai tahun taksiran 2024 hingga 2027.

"Kerajaan turut mengambil maklum proses untuk mengadaptasi e-Invois memerlukan tempoh masa yang panjang berikutan cabaran dan kekangan yang dihadapi terutamanya kepada peniaga kecil seperti peniaga goreng pisang, gerai tepi jalan atau perniagaan dari rumah ke rumah.

"Buat masa ini, peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 tidak perlu mengeluarkan e-Invois. Namun, kerajaan menggalakkan penglibatan peniaga kecil dalam inisiatif e-Invois selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan perniagaan," katanya.

Kerajaan juga katanya akan memastikan tempoh peralihan kepada e-Invois dapat dilaksanakan secara lebih fleksibel dengan mengambil pendekatan "didik dan perbetul", di samping terus komited untuk membantu semua syarikat termasuk PMKS dalam melaksanakan e-Invois sepenuhnya

-- BERNAMA