Jerman menjadi negara terbaharu memberi respons segera terhadap perkembangan krisis tersebut yang mungkin mencetuskan Perang Dunia Ketiga apabila menyatakan kesediaan menjadi ‘medan pementasan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)’ jika peperangan merebak ke Eropah Timur.
Menurut dokumen Operationsplan Deutschland setebal 1,000 muka surat, Berlin akan menjadi ‘tuan rumah’ kepada ribuan askar negara anggota NATO dan berfungsi sebagai hab logistik dengan menghantar bekalan besar peralatan ketenteraan, makanan serta ubat-ubatan ke unit barisan hadapan.
Laporan Der Spiegel pada musim panas lalu menyatakan Berlin boleh menerima sehingga 800,000 anggota tentera daripada blok keselamatan tersebut sebelum pasukan itu dikerahkan ke pos masing-masing.
Tentera Jerman turut mengarahkan syarikat berkaitan dan orang awam supaya melindungi infrastruktur utama serta menggerakkan pertahanan negara, di tengah-tengah ancaman perang hibrid seperti operasi pengintipan dan serangan sabotaj yang semakin meningkat di seluruh Eropah.
Sektor perniagaan juga disarankan supaya melaksanakan pelan krisis yang memperincikan tanggungjawab pekerja ketika darurat termasuk menyimpan stok generator diesel sebagai sumber tenaga.
Berlin mengikut jejak langkah beberapa negara Nordic yang mula mengedarkan risalah tentang persediaan menghadapi peperangan kepada jutaan penduduk.
Finland pula mengingatkan rakyat mereka tentang kewajipan mempertahankan negara, malah turut melancarkan laman web baharu mengenainya, manakala Sweden memberikan garis panduan tentang cara mencari tempat berlindung seperti bunker dan apa yang perlu dilakukan jika berlaku serangan nuklear.
Manual arahan itu juga dikeluarkan beberapa negara Baltik seperti Norway dan Denmark yang memperincikan senarai semak untuk bekalan makanan serta persediaan ubat-ubatan penting.
ANGKARA AS
Rantau Eropah menjadi ‘huru-hara’ seperti di ambang peperangan disebabkan keputusan melulu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang membenarkan penggunaan misil jarak jauh, Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) ke Rusia dan ia juga bakal menghantar bekalan periuk api kepada Kiev, kononnya untuk menyekat kemaraan unit infantri Moscow.
Pentadbiran Biden dilihat cuba mengukuhkan benteng pertahanan Ukraine sebelum beliau meninggalkan Rumah Putih tanpa memikirkan akibat dahsyat terpaksa ditanggung blok Eropah jika provokasi sedemikian bakal mencetuskan tindak balas Kremlin yang lebih agresif.
Terdapat kebimbangan jika pentadbiran penggantinya, Donald Trump mengumumkan gencatan senjata segera yang memerlukan Kiev menyerahkan sebahagian besar wilayah mereka kepada Moscow.
Prospek sedemikian menyebabkan kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu cuba menawan sebanyak mungkin kawasan musuh bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing menjelang proses rundingan yang masih samar-samar.
Ketika krisis semakin memuncak, Kremlin mengesahkan Kiev telah melancarkan satu lagi misil jarak jauh milik Britain, Storm Shadow ke wilayah Kursk di Rusia, sehari selepas ia menggunakan ATACMS.
Susulan serangan ATACMS di Bryansk pada Selasa, Kementerian Kecemasan Rusia mengumumkan ia telah mula membina tempat perlindungan bom mudah alih yang boleh menahan gelombang kejutan dan radiasi letupan nuklear.
KUB-M boleh memberi perlindungan kepada sehingga 54 individu dalam satu masa selama dua hari daripada bahaya semula jadi atau buatan manusia.
Bagi menghadapi ancaman ATACMS yang berupaya mencapai sasaran sejauh 300 kilometer, unit udara Moscow mengesahkan ia telah mengerahkan jet pejuang dan pesawat pengebom strategik tambahan dari lokasi dalam jarak jangkauan misil tersebut ke kawasan lebih jauh di timur. - Sinar Harian memetik agensi