Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata skop galakan cukai automasi juga akan diperluas untuk meliputi sektor komoditi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Langkah ini untuk meningkatkan produtiviti hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui mekanisasi dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, katanya semasa membentangkan Belanjawan 2024 bertema 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat' di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam Belanjawan 2023, beliau telah menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.79 sekilogram.
"Sekali lagi setelah mendengar keluhan para pekebun getah, kerajaan bersetuju untuk menaikkan paras harga pengaktifan IPG kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta," katanya.
-- BERNAMA