Kerajaan Negeri Sembilan memandang serius mengenai isu dadah di negeri ini dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membasmi musuh nombor satu negara itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lantaran kejayaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan judi siber dan judi haram secara menyeluruh di negeri ini, kini tumpuan patut diarahkan kepada isu dadah.

"Sekarang ini kita hendak masuk ke tempat (bahagian) yang lebih serius iaitu usaha untuk membanteras dadah setelah kejayaan kita membanteras judi siber. Di negeri ini marilah kita bersama-sama berganding bahu membanteras aktiviti dadah ini.

"Aktiviti dadah ini ada tiga peringkat iaitu pembekal, pengedar dan pengguna. Oleh itu kita kena memecahkan tugas kita supaya aktiviti penggunaan dan pengedaran dadah dapat disekat," katanya semasa berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Warga PDRM Kontinjen Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Mat Ali Hassan dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mohamad berkata kejayaan membanteras judi haram dan judi siber telah menampakkan kesan yang positif dalam mengurangkan masalah sosial dalam masyarakat dan masalah ini dapat dikurangkan lagi jika gejala dadah ini dapat dibanteras dengan jayanya.

Pada majlis itu, Mohamad turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM565,000 kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Daerah, Balai-Balai Polis dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Negeri Sembilan.

-- BERNAMA