Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mahu kerajaan negeri serta jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan supaya memantau rapi serta membuat persiapan sepenuhnya dalam menghadapi cuaca tidak menentu di negeri ini.

Baginda juga mengakui turut memantau rapi serta mengikuti perkembangan keadaan banjir yang melanda beberapa daerah di Johor sejak semalam.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Ibrahim bertitah supaya persediaan sepenuhnya dibuat berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

"Pasukan keselamatan perlu terus meningkatkan pemantauan dan membuat penambahan dari segi persediaan anggota di seluruh negeri.

"Ini kerana keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, begitu juga dengan penduduk yang menetap berhampiran kawasan rendah perlu berhati-hati dan sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) menerusi kenyataan itu.

Baginda juga bertitah kerajaan negeri juga perlu memastikan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mendapat keselesaan serta kemudahan secukupnya.

"Pada masa sama, pihak berkuasa khususnya Jabatan Kesihatan Johor juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga serta menjalankan pemeriksaan di setiap PPS bagi mencegah penularan COVID-19," titah baginda.

Setakat 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 1,271 orang daripada 331 keluarga melibatkan empat daerah iaitu Batu Pahat, Muar, Pontian dan Tangkak.

-- BERNAMA