KOTA BHARU: Sekretariat Program Jelajah Siswa (PESKOUMK'14) memohon maaf kepada semua pihak terutama peminat kepada kumpulan rock terkemuka tanah air, XPDC yang gagal membuat persembahan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok pada Jumaat malam.

Sekretariat PESKOUMK'14 dalam satu kenyataan berkata, kegagalan berbuat demikian dipercayai kerana salah faham berhubung isu permit hiburan.

Menurutnya, Majlis Daerah Bachok (MDB) telah meluluskan permit hiburan pada 14 November dengan kelulusan bersyarat iaitu hanya tertakluk kepada persembahan artis seni dan warisan tempatan Kelantan sahaja.

"Tanpa melibatkan nyanyian artis solo dan berkumpulan dari luar Kelantan.

"Berhubung isu permit hiburan yang telah ditularkan menerusi media sosial untuk program Jelajah Siswa PESKOUMK’14, kami (sekretariat) bagi pihak universiti telah menguruskan permit hiburan dengan mengemukakan permohonan kepada pihak MDB sejurus menerima pengesahan senarai nama akhir artis jemputan serta maklumat hiburan daripada pihak penaja iaitu Yaya Empire," katanya.

Tambah kenyataan tersebut, hasil perbincangan semula pihak pengurusan UMK dengan pihak MDB pada Ahad jam 2.15 petang memutuskan bahawa program jualan, aktiviti pelajar dan pengisian lain yang telah dirancang sehingga 22 November ini akan diteruskan seperti dijadualkan.

Ujarya, manakala persembahan pentas hanya terhad kepada artis seni dan warisan dari Kelantan sahaja sebagaimana yang dipersetujui.

"Pihak Sekretariat memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan kerjasama penganjuran program iaitu Yaya Empire dan Bossku Mega Expo kerana telah berjaya menarik pengunjung ke Program Jelajah Siswa PESKOUMK’14.

"Kami turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan UMK kerana menyokong penuh dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Sekretariat Program Jelajah Siswa PESKOUMK’14 selaras dengan aspirasi yang dibawa di bawah inisiatif Pemerkasaan Mahasiswa," katanya.

Menurut kenyataan tersebut, penganjuran Program Jelajah Siswa PESKOUMK’14 merupakan salah satu program berimpak tinggi yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa UMK.

Program ini bertujuan membentuk jati diri mahasiswa unggul melalui perancangan dan pengurusan acara yang berskala besar peringkat universiti.

Terdahulu, tular luahan peminat di aplikasi TikTok susulan kegagalan XPDC membuat persembahan.

XPDC merupakan antara kumpulan rock yang cukup sinonim dengan rakyat negara ini menerusi lagu-lagu seperti Hentian Ini, Nafisa, CT Cinta Silam, Titian Perjalan dan banyak lagi. - Sinar Harian