BAYAN LEPAS: Kerajaan Negeri memberikan komitmen penuh terhadap usaha menyokong pembangungan industri Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai peneraju bukan saja di peringkat domestik tetapi juga antarabangsa.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata Pulau Pinang sememangnya dikenali sebagai hub industri global yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, katanya lebih banyak insentif perlu diberikan bagi membolehkan industri berkenaan terus berkembang pesat selari hasrat kerajaan untuk meletakkan negara sebagai destinasi pelaburan berdaya saing di samping menjadi ekonomi berdaya tahan iklim dan lebih lestari.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru-baru ini menerusi kerangka Ekonomi MADANI menyatakan bahawa kerajaan akan memberikan sepenuh tumpuan terhadap industri PKS yang mana kita lihat ia juga amat penting bagi Pulau Pinang.

"Memang ini yang kita harapkan," katanya pada sidang media selepas melawat GSH Precision Technology Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama pengasas merangkap pengarah syarikat J Philip Vincent dan Fong Hock Guan.

Sementara itu, Vincent berkata pihaknya amat berharap Kerajaan Negeri dapat membantu mereka membuat perolehan tanah bagi membolehkan kilang mereka mengembangkan operasi.

Beliau berkata selain tanah, bantuan dari segi pemberian insentif untuk latihan dan peralatan diperlukan di samping insentif galakan cukai kepada PKS yang mengeksport barangan ke luar negara.


-- BERNAMA