PUTRAJAYA: Dakwaan kerajaan melaksanakan darurat kerana takut kehilangan majoriti di Parlimen adalah salah satu contoh berita tidak benar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, tuduhan dan andaian seperti itu boleh dikenakan tindakan serta pertuduhan mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) (No 2) 2021, yang berkuat kuasa hari ini.

“Ia (adalah) satu kesalahan... bagi saya ia satu kesalahan,” komennya ringkas ketika ditanya contoh berita tidak benar dalam sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, hari ini.

Sidang media itu diadakan khas bagi menjelaskan mengenai pelaksanaan ordinan berkenaan, yang telah diwartakan semalam, selepas dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Mac lepas.


Sementara itu, Saifuddin berkata, antara contoh berita tidak benar lain ialah dakwaan terdapat individu yang meninggal dunia selepas mengambil vaksin COVID-19.

“Saya tahu orang akan bertanya... agaknya kes macam mana nak diuruskan oleh ordinan ini. Saya boleh bagi ilustrasi sebagai contoh. Katalah individu A dalam blog kata Z telah meninggal dunia setelah terima vaksin COVID-19. Maka individu itu boleh dituduh.

“Atau A menawarkan maklumat palsu mengenai COVID-19 kepada B, dan B seterusnya menerbitkan maklumat itu dalam blog beliau, tanpa mengetahui maklumat tu palsu. Jadi A pun salah, B pun salah,” katanya lagi.

BACA: Ordinan Darurat untuk cepatkan penguatkuasaan, siasatan, pendakwaan berita palsu - Saifuddin

BACA: Ordinan Darurat: Hasilkan berita palsu, denda tidak lebih RM100,000

Biarpun hukuman yang dikenakan dianggap agak keras, Saifuddin berkata, ordinan itu penting sebagai usaha mencegah kelakuan yang boleh menimbulkan ketakutan atau menggugat ketenteraman awam.

Sementara itu, beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa ordinan tersebut menidakkan hak individu seperti Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, adalah tuduhan bermotifkan politik yang keterlaluan.

Jelasnya lagi, klausa di bawah ordinan berkenaan jelas menunjukkan sebarang pertuduhan hanya bersabit terhadap berita tidak benar mengenai COVID-19 dan proklamasi darurat sahaja.

“Kita di KKMM dan SKMM ada kekangan dari segi undang-undang untuk melaksanakan beberapa perkara. Kami sedang meminda Akta SKMM sedia ada, tetapi belum sempat pun dibentangkan di Parlimen.

“Bagi saya mudah saja, Akta SKMM ialah akta yang diwujudkan pada tahun 1998. Pada masa itu, kita belum tahu lagi macam mana lajunya berita palsu boleh berkembang dalam media sosial. Bayangkan saya sebagai menteri menggunakan senjata tahun 1998 untuk menghadapi perang 2021. Memang ada keperluan untuk ordinan ini,” katanya lagi.