Hakim Mahkamah Daerah, Kenneth King, berkata dia tidak menyukai "sikap" Eva Goodman dan ingin menunjukkan kepada pelajar itu "bagaimana sepatutnya anda berkelakuan di dalam mahkamah."
Remaja tersebut melawat Mahkamah Daerah ke-36 sebagai sebahagian daripada lawatan yang dianjurkan oleh badan amal alam sekitar The Greening, yang turut menganjurkan aktiviti lain seperti berkayak dan memerhati burung.
Susulan kejadian itu, pada Khamis, Ketua Hakim Mahkamah Daerah ke-36, William McConico dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, beliau telah menjalankan "siasatan dalaman yang pantas dan menyeluruh" terhadap insiden itu dan memutuskan untuk menggantung sementara tugas King bagi membolehkannya menjalani "latihan yang diperlukan."
“Kami berharap insiden ini tidak akan merosakkan hubungan sejak sekian lama kami dengan sekolah-sekolah tempatan,” kata Hakim McConico.
Ibu gadis itu, Latoreya Hill, memberitahu media tempatan: "Adakah anda mahu seseorang melayan anak anda sebegitu?
"Untuk memalukannya di hadapan seluruh dunia dan rakan-rakannya, membuatnya merasa lebih teruk tentang keadaannya."
Rakaman video dari mahkamah menunjukkan Hakim King memberitahu anak perempuan Puan Hill: "Satu perkara yang anda akan pelajari tentang mahkamah saya adalah saya bukan mainan. Saya bukan untuk dipermainkan."
Bahkan, King turut meminta pelawat lain dalam lawatan itu untuk mengundi sama ada dia perlu menghantar Eva ke pusat tahanan juvana, sebelum memutuskan untuk memakaikan gari dan pakaian penjara kepadanya sebelum melepaskannya.
“Ia adalah sikapnya secara keseluruhan dan perilaku itu benar-benar mengganggu saya,” kata hakim itu dalam wawancara selepas kejadian.
"Saya ingin dia faham betapa seriusnya perkara ini," katanya, sambil menambah: "Saya akan lakukan apa sahaja yang perlu untuk mencapai matlamat dan memastikan mereka tidak berakhir di hadapan saya."
Dalam video insiden itu, Hakim King memberitahu Eva: "Tidur di katil di rumah anda, bukan di mahkamah."
Bagaimanapun, ibunya berkata bahawa Eva tidak mempunyai "katil sendiri yang boleh dia tidur di atasnya."
"Dia terlalu letih. Saya cuba sedaya upaya,” kata Hill yang juga seorang ibu tunggal kepada dua anak.
Dalam perkembangan sama, Hakim Aliyah Sabree yang memegang jawatan nombor dua di mahkamah itu berkata, tindakan King "tidak mencerminkan standard" mahkamah dan akan "menangani perkara ini dengan penuh kewajaran. "
King turut dilaporkan berkata, beliau berpegang teguh pada keputusannya.
"Saya mahu ini (tindakan menggari dan memakai baju penjara) itu kelihatan dan dirasakan sangat benar untuknya (Eva), walaupun mungkin tiada peluang sebenar untuk saya memenjarakannya," katanya.
"Itu adalah versi saya sendiri dari program Scared Straight."
Scared Straight yang dirujuk King ialah sebuah program yang yang diterbitkan di Amerika Syarikat pada 1978 untuk membantu mengurangkan jenayah juvana dengan membawa remaja yang berisiko terlibat dalam jenayah untuk melawat penjara atau pusat pemulihan.
Di sana, mereka akan mendengar pengalaman daripada banduan yang menceritakan kesusahan dan kesengsaraan hidup di penjara.
Tujuannya adalah untuk "menakutkan" para remaja supaya mereka sedar tentang akibat buruk jika mereka meneruskan kelakuan jenayah mereka.
Program ini mendapat perhatian luas kerana pendekatannya yang keras dan berterus terang, walaupun keberkesanannya menjadi subjek perdebatan dalam kalangan pakar. - Agensi