Abang ipar kepada Allahyarham, Muhammad Effrie Amron berkata, itu antara rakaman CCTV premis yang dikatakan diterima pihak keluarga Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23.
Menurutnya, premis kedai di sepanjang jalan di lokasi yang dilalui Nidza Afham memberikan kerjasama membantu memberikan rakaman CCTV.
"Ahli keluarga cari CCTV semua dan nampak pergerakan dia (Nidza) dari stadium (Stadium Sultan Suleiman Klang) sampai ke jambatan (Jambatan Kota).
"Video CCTV akhir dekat jambatan, tapi kami tak dapat tengok, cuma dimaklumkan pihak polis memberitahu dia (Nidza) seorang diri bermundar-mandir," katanya dalam satu rakaman video di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam semalam.
Tambah Muhammad Effrie, sebelum kejadian adik iparnya itu pergi joging.
Katanya, memang ada maklumat dalam telefon bimbitnya rekod joging kira-kira tiga kilometer.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan kes kematian Nidza Afham diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) selepas punca kematian 'pending laboratory investigation' dan tiada lain-lain kecederaan fizikal.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu dengan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Pada Rabu, mayat lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Klang, kira-kira jam 7.30 malam, Rabu, disahkan adalah Nidza Afham, selepas dilaporkan hilang sejak Selasa. - Sinar Harian