Abang sulungnya, Mohd Nidza Irfan Mokhtar berkata, mereka sekeluarga amat berharap orang ramai atau netizen di media sosial tidak membuat kenyataan sensitif yang boleh menggores perasaan terutama ibu mereka.
Dia berkata, kehilangan Nidza Afham adalah satu perkara yang sangat membimbangkan ahli keluarga dan diharap tidak ada kenyataan dikeluarkan yang boleh mengeruhkan lagi situasi ketika ini.
"Saya mewakili ahli keluarga sangat berharap agar orang ramai atau netizen di media sosial dan pihak media untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kehilangan adik kelima saya ini.
"Ia demi menjaga perasaan ibu kami yang sangat bersedih atas kehilangan Nidza Afham," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelasnya, dia sekeluarga amat mengharapkan doa yang baik daripada orang ramai agar Nidza Afham ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya, tidak ada yang lebih penting ketika ini selain mengharapkan adiknya itu ditemukan selamat.
Katanya, dia dan ahli keluarga ketika ini masih mencari Nidza di sekitar kawasan kejadian.
Sebelum kehilangan, menurutnya, Nidza ada memaklumkan sudah tiba di Stadium Klang untuk melakukan larian dan berjoging di situ.
Katanya, ada pihak yang nampak Nidza melakukan larian di Stadium Klang pada malam Selasa.
"Baju yang dipakai oleh adik saya adalah jersi yang bertulis namanya di bahagian belakang," ujarnya.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lokasi terakhir kelibat Nidza dilihat berada berhampiran Gereja St Barnabas. -Sinar Harian