SHAH ALAM: Pas menegaskan tetap kekal bersama gabungan dan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) serta tidak mempunyai hasrat untuk menyertai kerajaan.

Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyatan yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini mengenai ‘kemungkinan’ Pas menyertai kerajaan kerana kononnya ada perbincangan sedang berjalan adalah imaginasinya sendiri.

Menurutnya, perkara itu tiada kaitan dengan parti berkenaan atau realiti politik, namun jelas bertujuan untuk mengelirukan orang ramai sehingga boleh menimbulkan persepsi buruk.

“Perlu juga ditegaskan bahawa Pas bukan seperti parti-parti dalam gabungan kerajaan yang sering mengubah janji dan pendirian mereka.

“Terutama ketika sebelum pilihan raya, selepasnya atau pada bila-bila masa lain yang perlu apabila tersepit dengan keadaan.

“Maaf Fahmi, Pas tetap bersama PN,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Pada 22 Jun, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan itu tidak menafikan mahupun mengesahkan khabar angin bahawa pesaing politiknya Pas akan menyertai gabungan pemerintah pusat.

Menjawab soalan mengenai perkara berkenaan, beliau berkata, terdapat banyak ‘perbincangan berterusan’ antara kerajaan dan pembangkang khususnya dengan pemimpin negeri.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pendirian parti tersebut bahawa tidak mempunyai sebarang keinginan untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) sebagaimana dakwaan yang tular itu.

Selain itu, Takiyuddin turut menasihatkan Fahmi untuk terus bersikap lebih telus dan tidak syok sendiri dengan permainan persepsi serta fitnah untuk memburukkan pesaing politik Putrajaya. - Sinar Harian